Pasukan negara gigit jari

Pasukan negara gigit jari

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Meskipun tumpas kepada Pasukan Malaysia dengan mata 63-17 Ketua Jurulatih Skuad Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bersama pemain negara yang berada di Thailand terus nekad untuk memadam kekecewaan dengan azam memenangi perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Sri Lanka beberapa hari lagi.

Menurut Thilaka Jinadasa ketika dihubungi berkata meskipun tumpas pada perlawanan itu namun para pemain menunjukkan prestasi terbaik dan ia adalah lebih baik daripada dua pertemuan sebelum ini di dalam kejohanan yang sama pada tahun 2014 iaitu 79-15 dan Sukan Asia tenggara 2015, 82-24.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini kami datang ke kejohanan kali ini dengan sasaran untuk mengecilkan jurang jaringan terutama ketika berhadapan pasukan Malaysia dan Sri Lanka. Pada saya kita berjaya dalam hal itu.” tegasnya. Menurutnya lagi pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi meskipun berhadapan pasukan yang kuat dengan kehebatan masing-masing dan pencapaian semalam adalah sangat membanggakan.

Pasukan bola jaring negara ketika beraksi menentang pasukan Malaysia. – Gambar BNA
Pasukan bola jaring negara ketika beraksi menentang pasukan Malaysia. – Gambar BNA

“Para pemain memberi komitmen untuk menebus kekalahan dengan menunjukkan persembahan terbaik pada perlawanan menentang Sri Lanka nanti dan mereka perlu bekerja keras dan fokus kepada perancangan permainan.” ujarnya lagi.

Menurutnya pasukan negara kini berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan sasaran menentang Pasukan Chinese Taipei dalam peringkat seterusnya nanti dan penjaring gol perlu mempamerkan permainan yang mantap jika mahu berjaya. Brunei Darussalam akan menentang Sri Lanka pada 4 Ogos 2016 nanti di dalam Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Thailand kali ini.

ARTIKEL YANG SAMA