Pasukan negara labuh tirai perlawanan dengan kemenangan 76-18

Pasukan negara labuh tirai perlawanan dengan kemenangan 76-18

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Pasukan Bola Jaring Kebangsaan hari ini menutup tirai siri perlawanan persahabatan antarabangsanya dengan kemenangan 76-18 ke atas Pasukan Maldives yang kini berada di negara ini sejak seminggu lalu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pasukan Bola Jaring Kebangsaan yang bakal menyertai Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Thailand hujung bulan ini menguasai perlawanan dengan mencatatkan 20-6 pada suku pertama, 17-1 pada suku kedua, 19-5 pada suku ketiga dan 20-6 pada suku terakhir.

Sejurus selepas perlawanan, ketika ditemui Ketua Jurulatih Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka Jinadasa menyatakan siri persahabatan ini adalah bagi menguji setiap pemain, namun menurutnya dua pemain yang sudah tersenarai terpaksa berundur diri ekoran komitmen karier bagi menyertai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan menggantikan dua pemain simpanan.

“Kedua-dua mereka (pemain simpanan) diturunkan dalam perlawanan hari ini untuk melihat perkembangan mereka dan saya sangat gembira dengan purata 70% bagi penjaring utama dan seorang lagi mencapai tahap 83% dan itu adalah berita yang sangat menggalakkan,” ujarnya.

Menurutnya, dua pemain yang diserapkan ke dalam pasukan itu adalah Noor Zinatul Azimah binti Haji Ibrahim  (Jim) and Siti Saihah binti Mohmmad Adi Najmi (Sai) dan mereka mempamerkan persembahan yang cukup baik ekoran pengalaman sebelum ini di peringkat belia. Beliau juga menegaskan bahawa beliau terpaksa memasukan pemain pertahanan ekoran dua pemain yang terpaksa menarik diri adalah pemain di sebelah belakang dan tumpuan utama dalam permainan hari ini adalah menguji pertahanan yang baru itu.

Gambar ramai bersama barisan pemain dari kedua-dua buah negara.
Gambar ramai bersama barisan pemain dari kedua-dua buah negara.

“Apa yang saya hiraukan adalah kecergasan, namun saya yakin setelah melihat mereka mempamerkan permainan yang sangat memberangsangkan kerana mereka juga terdiri daripada bekas pemain belia sebelum ini,” tegasnya lagi.

Padanya mereka hanya perlu menyelaraskan permainan dengan barisan pemain yang sudah ada kerana strategi menurutnya akan sentiasa diubah bergantung kepada siapa yang dihadapi dan itu adalah yang perlu dibiasakan oleh kedua-dua pemain baru berkenaan.

“Pada saya kedua-dua pemain perlu memberikan fokus kepada kecergasan dalam dua minggu ini sebelum bermulanya kejohanan di Thailand itu nanti, namun saya yakin kedua-dua mereka mampu untuk mencapai ke tahap yang dikehendaki,” ujarnya.

Beliau menambah “menentang Afghanistan pada 31 Julai nanti akan menjadi ujian pertama kepada kedua-dua pemain ini dalam kejohanan itu nanti sebelum menentang pasukan yang lebih kuat seperti Jepun pada 1 Ogos, Malaysia pada 2 Ogos dan Sri Lanka pada 4 Ogos ini nanti.”

Sementara itu semalam pula berlangsung perlawanan persahabatan terakhir bagi pasukan belia negara yang berkesudahan dengan kemenangan di pihak pasukan belia negara dengan jaringan 68-32.