Pasukan negara lakar sejarah

Pasukan negara lakar sejarah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Pasukan lumba basikal Brunei Darussalam mencipta sejarah baru apabila berjaya meraih naib juara dalam OCBC Cycle Speedway ASEAN 2016 di Singapura semalam.

Pasukan negara diterajui oleh Azmi bin Abd Hadzid sebagai ketua pasukan dan disertai oleh Abdul Hadrie bin Morsidi, Muhammad Rafiuddin bin Zikara, Andrew Mikha bin Sianong dan Abdul Mu’iz bin Yuzaini.

Menurut Jurulatih Basikal Kebangsaan, Yafiz bin Jamaludin, penyertaan tahun ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila berjaya memecahkan rekod pencapaian tahun lalu di tempat ketiga pada kejohanan yang sama.

“Persiapan telah kami lakukan sejak tiga bulan kebelakangan ini dan apa yang lebih menarik, kali ini kami turut menampilkan pengayuh muda dan baru untuk memberikan pendedahan untuk persiapan kejohanan besar tahun hadapan,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai perlumbaan di kota Singapura itu, menurutnya selain cabaran daripada persaingan, kita berjaya menebat tekanan daripada pasukan yang hebat antaranya pasukan tuan rumah yang berjaya menewaskan pasukan negara pada peringkat akhir tahun lepas.

Pasukan negara bergambar ramai dengan replika cek kemenangan. – Gambar PLBBD
Pasukan negara bergambar ramai dengan replika cek kemenangan. – Gambar PLBBD

“Saya cuba mencari alternatif dan strategi terbaik dalam perlumbaan daripada peringkat saringan, separuh akhir dan seterusnya di peringkat akhir dan syukur semua yang kami rancang berjaya dan itu satu lagi kejayaan yang pada saya boleh dibanggakan,” ujarnya lagi.

Menurutnya kejayaan penyertaan ini boleh dijadikan sebagai batu asas kepada pemilihan dan pendedahan kepada sukan Asia Tenggara tahun hadapan di Kuala Lumpur dan sememangnya itu adalah sasaran utama kami tahun ini.

Mengulas mengenai tahun 2016, menurutnya tidak ada penyertaan antarabangsa dan serantau yang disertai kerana tahun ini menurutnya adalah perlu bagi pendedahan domestik bagi persiapan jitu sebelum penyertaan ke Sukan Asia Tenggara tahun hadapan.

“Sebelum ke Sukan Asia Tenggara kami bercadang untuk menyertai beberapa siri besar serantau dan antarabangsa bagi persiapan terakhir skuad basikal negara sebelum ke temasya sukan yang tertinggi di rantau ini,” tegasnya.

Menurutnya lagi semua pihak perlu memainkan peranan memberikan sokongan kepada ahli sukan negara bukan sahaja daripada pihak kerajaan malah kepada pihak swasta terutama dari aspek pakaian serta keperluan dan ia akan menjadi pencetus motivasi para peserta untuk lebih giat dalam acara masing-masing.

“Saya tidak menyimpan harapan yang terlalu tinggi tahun ini namun pada tahun hadapan saya menyeru kepada mana-mana pihak yang berkesudian untuk tampil menaja para atlet sekaligus merupakan sumbangan besar bagi saya dan seluruh warga sukan basikal yang membawa nama negara nanti,” ulasnya.

ARTIKEL YANG SAMA