Pasukan pemaju industri pelancongan ditubuhkan

Pasukan pemaju industri pelancongan ditubuhkan

KUCHING, 19 Julai – Kementerian Pelancongan Sarawak telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Pelancongan untuk menjalankan kajian komprehensif mengenai cara-cara untuk memajukan lagi industri pelancongan Sarawak.

Jawatankuasa itu diketuai oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan dibantu oleh menteri mudanya dan Menteri Muda Perancangan Sumber sementara jawatankuasa kerja diketuai oleh Setiausaha Negeri serta Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perancangan Sumber.

Abang Johari berkata jawatankuasa itu diberi kuasa untuk mengkaji status sedia ada industri itu, meneroka bidang baharu untuk industri tersebut berkembang.

Ia juga untuk menjadikan pelancongan sebagai sektor strategik dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi Sarawak supaya seiring dengan Semenanjung Malaysia.

“Jawatankuasa pasukan petugas telah mengenal pasti tiga lonjakan strategik penting untuk sektor pelancongan negeri meneroka potensi pelancongan di peringkat serantau dan memberi tumpuan di wilayah selatan, tengah dan utara negeri itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di sini hari ini.

Beliau berkata, di wilayah tengah, ia melibatkan usaha membangunkan potensi pelancongan tasik seperti empangan Bakun, Murun dan Baleh empangan sementara Miri dan Limbang menjadi tumpuan di wilayah utara.

“Kami akan meningkatkan infrastruktur di kawasan-kawasan strategik ini… contohnya di Kuching, kami akan mengkaji usaha membangunkan apa yang dikenali sebagai koridor pelancongan dari Damai termasuk taman wetland dan Taman Negara Bako sehingga ke Bau, Lundu dan Sematan,” kata Abang Johari.

Katanya, pasukan petugas juga telah mengenal pasti keperluan infrastruktur di kawasan-kawasan berkenaan dan pihak berkuasa untuk mengawasi pembangunan tasik ini dan aset pelancongan yang lain di Mulu, Miri, Lambir dan Semuti di Niah. – Bernama