Pasukan petugas khas ditubuh, tingkat ekonomi Labuan

Pasukan petugas khas ditubuh, tingkat ekonomi Labuan

LABUAN, 9 Ogos – Kabinet telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mencari jalan membantu memulihkan ekonomi Labuan berikutan kelembapan dalam sektor minyak dan gas di pulau itu.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata pasukan petugas itu, yang anggotanya terdiri daripada menteri-menteri Kabinet, telah ditubuhkan semasa mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Kita harus berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan kerana membawa pelbagai isu yang dihadapi Labuan kepada kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis menyambut ketibaan kumpulan pertama pelancong China di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di sini.

Rozman berkata pasukan petugas itu akan menjadi platform bagi penduduk Labuan mengemukakan isu-isu yang memerlukan perhatian kerajaan, termasuk kerja-kerja menaik taraf terminal feri.

Selain kelembapan dalam sektor minyak dan gas, isu-isu lain termasuk ketiadaan pihak berkuasa pelabuhan untuk mengawal selia caj pelabuhan dan isu-isu berkaitan, peraturan baru Kastam, status Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah, harga barang pengguna, penganugerahan projek-projek kerajaan untuk kontraktor tempatan serta pengeluaran lesen perkhidmatan udara oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia bagi penerbangan sewa khas dari China ke pulau itu. – Bernama