Pasukan Petugas periksa dokumen, alat komputer daripada pejabat 1MDB

Pasukan Petugas periksa dokumen, alat komputer daripada pejabat 1MDB

KUALA LUMPUR, 8 Julai (AFP) – Sebuah pasukan petugas kerajaan yang menyiasat dana pelaburan milik kerajaan Malaysia telah merampas beberapa dokumen daripada pejabatnya hari ini, selepas satu siasatan yang dipercayai telah menemui beratus-ratus juta dolar dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

“Kami boleh mengesahkan bahawa beberapa pegawai daripada Pasukan Petugas telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB), mengunjungi pejabat kami hari ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Mereka telah diberikan beberapa dokumen dan material untuk membantu dengan siasatan yang pada masa ini sedang dijalankan,” tambah 1MDB.

Kenderaan polis dilihat berada di luar bangunan 1MDB yang terletak di tengah daerah perniagaan Kuala Lumpur, sementara masuk ke pejabat itu dikawal rapi.

Selepas hampir enam jam, para pegawai petugas khas muncul dari pejabat 1MDB bersama peralatan komputer yang dimuatkan ke dalam kenderaan polis.

Polis Malaysia ketika membawa keluar beberapa dokumen dan peralatan daripada pejabat 1MDB di Kuala Lumpur pada 8 Julai. – AFP
Polis Malaysia ketika membawa keluar beberapa dokumen dan peralatan daripada pejabat 1MDB di Kuala Lumpur pada 8 Julai. – AFP

Namun begitu, polis Malaysia tidak dapat dihubungi untuk maklumat lanjut.

Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa pada 3 Julai satu siasatan dipercayai telah menemui hampir $700 juta dipindahkan melalui agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat yang berkaitan dengan 1MDB sebelum berakhir dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Najib sendiri menyangkal laporan WSJ sebagai ‘sabotaj politik’ dan mengancam sebarang tindakan perundangan, sementara 1MDB menafikan sebarang salah laku dan mengatakan ia tidak memindahkan sebarang dana kepada perdana menteri berkenaan.

Kedua-duanya, Najib dan 1MDB juga telah mengatakan bahawa dokumen bocor sebelumnya ‘dilaporkan’ telah diubah, dan dokumen yang dipetik oleh WSJ itu tidak disahkan.