Pasukan Polis Diraja Brunei anjur aktiviti kebajikan

Pasukan Polis Diraja Brunei anjur aktiviti kebajikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Sebelum menjelangnya bulan Ramadan, beberapa buah balai polis di Daerah Brunei Muara telah mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan bersama ahli pengawasan kejiranan, baru-baru ini.

Menurut kenyataan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung telah diadakan pada 2 Jun lalu bertempat di Masjid Kampung Junjungan, Mukim Pengkalan Batu.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Penguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Abd Shahrimin bin Abd Rahman bersama anggota Balai Polis Limau Manis.

Turut hadir ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK), takmir masjid, Muslimah Masjid Kampung Junjungan dan penduduk kampung.

Pada 3 Jun yang lalu pula telah diadakan aktiviti membersihkan Tanah Perkuburan orang-orang Islam Kampung Lumapas. Hadir Ketua Kampung Lumapas ‘A’ dan ‘B’, Haji Mohd Yassin bin Haji Hassan dan Haji Chuchu bin Haji Serudin bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan dan MPK Kampung Lumapas dan anggota Balai Polis Kampung Ayer.

Majlis Tahlil dan Doa Arwah diadakan.
Majlis Tahlil dan Doa Arwah diadakan.

Juga pada hari yang sama, Unit Pengawasan Kejiranan Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan telah menganjurkan Majlis Bertahlil dan Doa Arwah bersama ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Dato Gandhi, Kampung Sungai Belukut dan Kampung Sungai Matan di bawah Mukim Kota Batu yang berlangsung di Masjid Kampong Serdang.

Majlis dihadiri Pemangku Pegawai Penguasa Balai Polis Pusat, Inspektor Mohd Faizal Iswandy bin Ali Othman dan Ketua Kampung Sungai Matan, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Zainal bersama ahli Pengawasan Kejiranan dan anggota Balai Polis Pusat.

Kemudian pada 4 Jun bertempat di Dewan Balai Polis Muara telah diadakakan Majlis Penyampaian Surat Lantikan Ahli Pengawasan Kejiranan bagi Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Kampung Sabun, Kampung Serasa dan Pelumpong.

Hadir semasa majlis tersebut ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Ketua Inspektor Polis Pengiran Khairul Anuar Bin Pengiran Haji Mohd Salleh dan Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Inspektor Nuradiba binti Haji Mohammad.