Pasukan Politeknik Brunei pulang bersama trofi kemenangan

Pasukan Politeknik Brunei pulang bersama trofi kemenangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Pasukan Politeknik Brunei yang bertanding dalam kategori Reka Bentuk Pelantar Minyak pada Festival Minyak dan Gas 2015 (OGFEST’15) di Johor Bahru, Malaysia, baru-baru ini, telah pulang ke tanah air dengan membawa trofi kemenangan tempat kedua.

Sehubungan itu, majlis penghargaan telah diadakan di Politeknik Brunei, kelmarin, bagi pasukan berkenaan yang terdiri daripada empat orang pelajar iaitu Awang Mohd Wafiuddin bin Ya’akub, Dayang Nadiah binti Haji Hassan, Dayang Nurol Azfizah binti Mohd Roszaimey dan Dayang Nurul Haziqah binti Azhar bersama tiga pensyarah iaitu Haji Abdul Muiz bin Haji Matali, Haji Awang Morni bin Haji Madali dan Chai Soon Fu dari Program Kejuruteraan Telaga.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, Pasukan Politeknik Brunei adalah yang pertama dan satu-satunya politeknik yang bertanding dengan pasukan universiti-universiti dalam pertandingan antarabangsa berkenaan.

Antara universiti yang ikut serta termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Freiberg University of Mining and Technology, Southwest Petroleum University, China University of Petroleum (Beijing), Institut Teknologi Bandung, Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Trisakti University, UPN “Veteran” Yogyakarta and the Society of Petroleum Engineers (SPE) UI.

Meskipun tidak mengetahui bahan-bahan yang disediakan oleh penganjur sehingga sehari sebelum pertandingan serta terpaksa berdepan cabaran-cabaran kuat daripada pasukan lain, pelajar-pelajar Politeknik Brunei mampu meningkatkan kerjasama, kreativiti, kemahiran inovasi dan keazaman untuk membuat yang terbaik sepanjang pertandingan itu, menurut kenyataan itu lagi.

Peserta dari Politeknik Brunei bergambar ramai bersama dengan peserta dari Universiti Teknologi Malaysia dan Southwest Petroleum University (China).
Peserta dari Politeknik Brunei bergambar ramai bersama dengan peserta dari Universiti Teknologi Malaysia dan Southwest Petroleum University (China).

Pasukan berkenaan terpaksa bertanding dalam satu siri ujian-ujian seperti membina pelantar minyak dalam tempoh empat jam, ujian muatan, ujian keupayaan mengapung dan pembentangan selama lima minit untuk menjelaskan reka bentuk mereka kepada panel pakar-pakar.

Pelantar minyak mereka diberi nama “Zafr” yang bermakna kejayaan dalam Bahasa Arab.

Menurut kenyataan itu lagi, dengan menyertai pertandingan antarabangsa seperti OGFEST’15, para pelajar memperoleh pemahaman lebih meluas dan mendalam ke arah pembangunan dan teknologi terkini dalam industri minyak dan gas.

Acara itu juga menghimpunkan para pelajar dan pakar-pakar dalam industri yang berkaitan dengan minyak dan gas dengan menyediakan platform untuk bertukar-tukar pengalaman, idea dan penyelesaian mengenai masalah minyak dan gas serta mengukuhkan silaturahim dan persahabatan dalam kalangan pelajar di antara universiti dan pakar-pakar industri minyak dan gas.

Acara berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Jurutera-jurutera Petroleum (SPE-Bahagian Pelajar UTM) dan diadakan di UTM.

ARTIKEL YANG SAMA