Pasukan PSJD berada di kedudukan teratas Liga Coneli

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Pasukan PSJD FC menunaikan janjinya untuk terus bersaing dengan Landas FC bagi merangkul piala Liga Veteran Coneli 2017 yang kini memasuki perlawanan di peringkat akhir.

Perlawanan yang berlangsung di MBM Miri, Sarawak, menyaksikan kemenangan Pasukan PSJD FC setelah berjaya menumpaskan Pasukan Mulu FC dengan jaringan 10-0 dan sekali gus menukar kedudukan mereka ke tangga teratas meskipun mempunyai dua baki perlawanan menentang Pasukan Landas pada pertengahan bulan Mac nanti.

Jurulatih Pasukan PSJD, Nordin Tujuh ketika dihubungi oleh Media Permata, berkongsi kegembiraannya setelah menyaksikan kesemua pemain dapat bermain dengan penuh semangat tanpa kehadiran tujuh pemain utama.

“Mereka menunjukkan semangat persaingan yang tinggi sehingga meletakkan Pasukan PSJD di kedudukan teratas Liga Coneli, dan kami bakal menghadapi perlawanan penentuan menentang Pasukan Landas dan perlu lebih fokus untuk menghadapinya,” katanya.

Pasukan PSJD FC kini menduduki tangga teratas Liga Veteran Coneli.

Beliau berharap agar semua pemain akan lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan penting yang bakal diadakan pada 18 Mac depan kerana sehari sebelum perlawanan itu diadakan beberapa orang pemain pasukan itu akan terlibat dalam anjuran 11 sepasukan oleh Brunei SR dan SS90 FC SABAH yang akan diadakan di Stadium Likas, Sabah.

Pasukan itu membuka tirai tahun 2018 mereka dengan baik dan bakal menyertai dua kejohanan utama dalam Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam yang kini telah melangkah ke peringkat suku akhir Piala Presiden 2 dan Piala FA VFA.

Semasa acara pengundian bagi Piala FA Veteran Miri baru-baru ini, pasukan mereka telah ditempatkan dalam kumpulan D bersama-sama Pasukan Perdanaku, OHM FC dan PEKIDA dan bakal bertemu dengan satu-satunya pasukan yang telah berjaya mengalahkan mereka dalam Liga Coneli iaitu Pasukan Perdanaku.

Pasukan PSJD menyatakan kesediaan mereka dan bersikap optimis terhadap kemampuan semua pemain dalam perlawanan itu.