Pasukan PTET juara Company of the Year JA

Pasukan PTET juara Company of the Year JA

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Pasukan Stygian & Co dari Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah dinobatkan sebagai pemenang dalam Pertandingan Company of the Year (COY) Junior Achievement (JA) yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, di sini, pagi tadi.

Manakala itu, tempat kedua pertandingan pertama anjuran JA Brunei itu dimenangi oleh Innovance dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah diikuti oleh Bonana Company dari Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM) di tempat ketiga dan Downlifted dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) di tempat keempat.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha yang merupakan salah seorang daripada barisan panel hakim dalam pertandingan tersebut.

Barisan panel hakim lain ialah Ketua Perbankan Perniagaan HSBC Brunei, Chang Ai Lee; Pengurus di Darussalam Enterprise (DARE), Pengiran Zainul Asri bin Pengiran Abdul Razak dan pengusaha muda tempatan, Pengarah dan Pengasas DESEO Living Gallery, Denis Chai.

Pemenang pertandingan berkenaan akan mewakili Brunei dalam pertandingan JA Asia Pasifik yang akan diadakan pada Februari 2017 di Tokyo, Jepun.

Keseluruhan pasukan dari Pusat Tingkatan Enam Tutong dan guru mereka bergambar ramai bersama Pengiran Azaleen yang mewakili Bank Baiduri Berhad menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Keseluruhan pasukan dari Pusat Tingkatan Enam Tutong dan guru mereka bergambar ramai bersama Pengiran Azaleen yang mewakili Bank Baiduri Berhad menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pertandingan ini merupakan sambutan tahunan JA Worldwide bagi meraikan pencapaian pelajar Program Syarikat JA. JA Asia Pasifik, Pusat Operasi Serantau JA Worldwide, merupakan penganjur pertandingan itu di rantau Asia Pasifik.

Dalam pertandingan berkenaan, syarikat-syarikat pelajar JA membentangkan hasil perusahaan mereka dan pengalaman pembelajaran di hadapan barisan panel hakim yang menentukan prestasi syarikat dengan membandingkan kriteria anugerah dengan syarikat-syarikat pelajar JA lain.

Pertandingan ini bukan sekadar persaingan perniagaan untuk orang muda, matlamatnya adalah untuk mengimbangi pencapaian perniagaan setiap syarikat pelajar secara keseluruhan dengan pembangunan peribadi setiap individu dalam syarikat pelajar.

Oleh itu, untuk memenangi anugerah itu, tidak mencukupi sekadar menjalankan syarikat yang berjaya dari segi kewangan atau mencipta produk yang menarik atau perkhidmatan, tetapi mereka mesti menunjukkan bahawa mereka memahami bagaimana dan mengapa syarikat mereka mencapai prestasi berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA