Pasukan RBRC juara kejohanan renang

Pasukan RBRC juara kejohanan renang

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Pasukan Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC) telah muncul sebagai juara keseluruhan apabila berjaya memungut 44 emas, 23 perak dan 24 gangsa dalam Kejohanan Renang Kumpulan Umur Brunei ke-24 yang telah diadakan pada 15 hingga 17 April bertempat di Kompleks Sukan Renang, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Tempat kedua pula jatuh kepada Pasukan Persatuan Renang Amatur Seria dengan memungut 40 emas, lima perak dan dua gangsa; Kelab Renang Sea Dragon di tempat ketiga dengan 37 emas, 51 perak dan 33 gangsa; Persatuan Renang Amatur Miri di tempat keempat dengan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa; Pasukan Renang Micia di tempat kelima dengan 10 emas dan satu gangsa; Pasukan Renang Kelab Gymkhana Miri di tempat keenam dengan sembilan emas, 24 perak dan 26 gangsa dan Sekolah Antarabangsa Brunei dengan enam emas, 11 perak dan 14 gangsa.

Beberapa rekod juga telah dipecahkan pada kejohanan itu antaranya rekod acara 200m gaya bebas bagi lelaki 9 tahun oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang mencatat masa 3:47.69 saat.

Awang Nur Haziq pula memecahkan rekodnya sendiri dalam acara 800m gaya bebas bagi kumpulan umur 14 hingga 15 tahun yang dicatatnya tahun lepas apabila memperbaiki masanya dengan catatan 9:40.53 saat.

Breanna Lee Le Er memecahkan rekod 100m kuak lentang bagi perempuan 9 tahun dengan catatan masa 1:53.96 saat, di mana rekod sebelumnya ialah 1:59.14 saat yang dicatat pada 2007.

ARTIKEL YANG SAMA