Pasukan regata Brunei menyerlah di Sarawak

Pasukan regata Brunei menyerlah di Sarawak

KUCHING, 20 Sept (Bernama) – Pasukan Brunei menduduki tempat kedua dan ketiga masing-masing dalam Kategori Terbuka 20 Peserta dan Terbuka 12 Peserta dalam Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2015 di Tebingan Kuching, hari ini.

Singapore Polytechnic pula muncul juara keseluruhan pada regata itu selepas merangkul tiga daripada empat kejuaraan dalam kategori antarabangsa.

Pasukan tersebut mengungguli Kategori Terbuka 12 Peserta, Campuran 20 Peserta dan Campuran 12 Peserta manakala Kategori Terbuka 20 Peserta dimenangi oleh pasukan Sambas dari Indonesia.

Sebanyak 17 pasukan bersaing dalam acara antarabangsa dan 12 pasukan tempatan bersaing bagi Lumba Perahu Naga Tempatan.

Selain pasukan tempatan, antara pasukan luar negara lain yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Jepun dan Filipina.

Dalam pada itu, saingan bagi memburu gelaran Raja Sungai Sarawak akan bermula pada 25 hingga 27 September ini melibatkan 18 kategori perlumbaan.

ARTIKEL YANG SAMA