Pasukan SM Sayyidina ‘Othman juara Pertandingan Pembentangan Kreatif AITI

Pasukan SM Sayyidina ‘Othman juara Pertandingan Pembentangan Kreatif AITI

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Pasukan Sekolah Menengah (SM) Sayyidina ‘Othman, Tutong telah menjuarai Pertandingan Pembentangan Kreatif anjuran Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh pasukan SM Pengiran Anak Puteri (PAP) Hajah Masna dan SM Masin.

Penyampaian hadiah pada majlis yang diadakan di Bangunan AITI, hari ini, telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Haji Osman bin Haji Ladis.

Beliau dalam ucapannya menjelaskan, pertandingan itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai potensi ancaman-ancaman dan risiko Internet dan media sosial.

Di samping itu, ia juga diharap dalam memupuk keyakinan diri para pelajar dan kemahiran bercakap di khalayak ramai, tambah beliau.

Para pegawai kanan kerajaan dan pengetua sekolah bergambar ramai bersama pasukan-pasukan yang terlibat dalam Pertandingan Pembentangan Kreatif anjuran AITI.
Para pegawai kanan kerajaan dan pengetua sekolah bergambar ramai bersama pasukan-pasukan yang terlibat dalam Pertandingan Pembentangan Kreatif anjuran AITI.

Sebelum majlis penyampaian hadiah, satu forum junior telah diadakan di Dewan Seri Kerna AITI, yang menyaksikan panel dari tiga sekolah teratas membincangkan tema pertandingan iaitu ‘Be Aware, Secure and Vigilant’, yang dipengerusikan oleh ASP Hajah Mariyani binti Haji Abdul Wahab dari Pasukan Polis Diraja Brunei.

Turut hadir ke majlis itu ialah para pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, pengetua sekolah yang ikut dan pegawai kanan AITI.

Menurut kenyataan AITI, hari ini, pertandingan yang berlangsung dari Julai hingga Oktober lalu ini dibukakan kepada semua pelajar Tahun 7 hingga 9 sekolah-sekolah kerajaan dan swasta seluruh negara.

Dianjurkan buat tahun kedua, pertandingan ini telah menerima sambutan yang positif daripada sekolah-sekolah dengan 18 penyertaan daripada sembilan buah sekolah diterima.

Sekolah yang terlibat termasuk SM Lambak Kiri, SM Masin, SM Menglait, SM PAP Hajah Masna, SM PAP Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut, SM Sayyidina Hasan, SM Sayyidina ‘Othman Tutong, SM Sufri Bolkiah Tutong dan SM Sultan Sharif Ali.

ARTIKEL YANG SAMA