Pasukan Softball negara raih pingat gangsa

Pasukan Softball negara raih pingat gangsa

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Pasukan Perempuan Masters Brunei Darussalam memperbaiki rekod penyertaan Softball Masters mereka apabila berjaya meraih pingat gangsa setara dengan pasukan Lelaki Masters negara yang turut mengulang kejayaan mereka tahun lalu dengan memenangi tempat ketiga.

Pada kejohanan Softball Masters Jakarta 2016 yang berlangsung pada 28-31 Julai lalu di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta Tengah, Indonesia itu pasukan perempuan negara telah bersaing dalam Kategori Perempuan Masters (berumur 35 tahun dan ke atas)bersama dengan Thailand, Singapura dan Indonesia (juara bertahan) menerusi format liga dua pusingan.

Sementara itu, pasukan lelaki negara berentap dalam Kategori Lelaki Masters (berusia 40 tahun dan ke atas) dengan lima pasukan lain iaitu Malaysia, Indonesia (juara bertahan), Thailand, Jepun dan Singapura dalam format liga satu pusingan.

Pada hari pertama kejohanan, pasukan perempuan negara tewas 1-5 kepada Thailand tetapi bangkit kemudiannya untuk menang 3-0 ke atas Singapura, sementara pasukan lelaki negara mencatat kemenangan besar 12-2 keatas Malaysia sebelum akur tewas 2-4 kepada Thailand.

Hari kedua kejohanan menyaksikan pasukan perempuan negara tewas 1-4 kepada Indonesia sebelum kemudiannya kalah 0-8 kepada Thailand, manakala pasukan lelaki negara meraih kemenangan 7-5 ke atas Singapura.

Pasukan negara yang meraih pingat gangsa dalam Softball Masters 2016 di Jakarta, Indonesia.
Pasukan negara yang meraih pingat gangsa dalam Softball Masters 2016 di Jakarta, Indonesia.

Di hari ketiga, pasukan perempuan negara memastikan kemenangan 2-0 ke atas Singapura sebelum tewas sekali lagi kepada Indonesia, dengan 0-4. Pasukan lelaki negara pula kalah 0-4 kepada Indonesia tetapi kemudiannya mencatat kemenangan bergaya 6-0 ke atas Jepun.

Ia merupakan penyertaan kali ketiga negara dalam kategori lelaki dengan pencapaian terbaik sebelum ini juga memenangi tempat ketiga tahun lalu, sementara bagi pasukan perempuan ia merupakan penyertaan kali kedua mereka selepas gagal berada dalam kedudukan 3-Terbaik tahun lalu.

Pengurus Pasukan Perempuan, Dayangku Rohhayati binti Pengiran Haji Hassan ketika dihubungi memanjatkan rasa syukurnya kepada Allah Ta’ala di atas pencapaian terbaik memenangi pingat gangsa berkenaan.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Lisut Amatur Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Amateur Softball and Baseball Association – BASBA) yang telah membenarkan mereka menyertai kejohanan itu.

Menurutnya semua pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan telah bermain bersungguh-sungguh pada setiap perlawanan mereka.