Pasukan veteran bersaing di Macau

Pasukan veteran bersaing di Macau

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Pasukan Bola Keranjang Veteran Negara Brunei Darussalam akan menguji kebolehan mereka menentang pasukan-pasukan veteran yang bakal beraksi di Kejohanan Bola Keranjang Jemputan Cina Antarabangsa Macau yang akan berlangsung dari 9 dan 10 Mei nanti di Macau.

Pasukan veteran negara yang dianggotai oleh pemain berpengalaman iaitu Andy Ang selaku kapten pasukan, Khoo Eng Cheong, Soon Chin Long, Lim Peng Kok, Goh Kok Ann, Ho Poh San, Ken Kho, Chua Teck Chee, Ong Tze Keu, Lim Siong Heng, Goh Hock Lai, Ang Eng Kee dan Goh Kim Tiam, akan menentang pasukan dari Filipina, Hong Kong, Shenzhen, Zhaoqing, Thailand dan Macau di kejohanan itu nanti.

Pasukan negara diketuai oleh pengurus pasukan, Goh Kim Tiam, jurulatih, Lim Kah Hoo dan penolong jurulatih, Tan Saan Choh di mana pasukan bertekad untuk memberikan saingan yang terbaik semasa kejohanan itu nanti dan berharap untuk memperbaiki lagi kedudukan serta mara ke pusingan seterusnya di kejohanan tersebut.

Sebagai persediaan untuk menyertai kejohanan itu, pasukan veteran negara telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pasukan Media dan Rakan-Rakan (M&F) yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang, Fitness Zone Kiulap, kelmarin.

Perlawanan persahabatan itu selain sebagai persediaan akhir bagi pasukan veteran, ia juga dihasratkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para pemain.

Pasukan Veteran Brunei Darussalam (kuning) bergambar ramai bersama Pasukan M&F (Putih) sebelum aksi persahabatan di Gelanggang Bola Keranjang Fitness Zone, Kiulap, kelmarin.
Pasukan Veteran Brunei Darussalam (kuning) bergambar ramai bersama Pasukan M&F (Putih) sebelum aksi persahabatan di Gelanggang Bola Keranjang Fitness Zone, Kiulap, kelmarin.