Pasukan VFA raih tempat ketiga

Pasukan VFA raih tempat ketiga

Oleh Lyna Mohamad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Pasukan VFA (Persatuan Bolasepak Veteran) telah mendapat tempat ketiga dalam perlawanan 7th International Soccer 9s Tournament 2015, anjuran International Football Club (IFC) Kuala Lumpur Malaysia.

Dalam perlawanan untuk mendapat tempat ketiga tersebut, Pasukan VFA mengalahkan Pasukan Kilat FC dari Kuala Lumpur menerusi sepakan penalti dengan keputusan 3-2 dan membawa pulang piala iringan, pingat dan wang tunai AS$250.

Ini merupakan kali pertama pasukan dari Negara Brunei Darussalam di jemput untuk menyertai kejohanan ini yang berlangsung di Padang Sukma Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Sebanyak 16 pasukan telah menyertai kejohanan ini di mana Brunei di wakili oleh tiga pasukan iaitu Pasukan VFA, XNFT dan FFC serta beberapa lagi pasukan-pasukan dari Macau, Thailand dan Malaysia.

Pasukan VFA berjaya meraih tempat ketiga pada kejohanan anjuran IFC di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar Hardy AJ
Pasukan VFA berjaya meraih tempat ketiga pada kejohanan anjuran IFC di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar Hardy AJ

Dalam kejohanan ini ramai bekas pemain kebangsaan yang bermain mewakili pasukan masing-masing. Pasukan XNFT juga telah muncul sebagai juara dalam Plate Cup.

Pasukan yang menyertai kejohanan ini dibahagikan kepada empat kumpulan dan Pasukan VFA berada dalam kumpulan D bersama Wednesday FC dari Kuala Lumpur, Sg Ujung FT dari Negeri Sembilan dan Dynasty FC dari Macau.

Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Pasukan VFA menang sekali dan seri dua kali dan berjaya mengumpul lima mata untuk muncul sebagai juara dalam kumpulan.

VFA berjaya mara ke separuh akhir apabila menewaskan naib juara kumpulan ‘A’, Kelab Aman dari Kuala Lumpur pada suku akhir dengan penentuan penalti setelah keputusan penuh seri 0-0 namun tewas di tangan IRC Seremban.