Pasukan wanita BFWDA tawan Cabaran 4×4 Padawan

Pasukan wanita BFWDA tawan Cabaran 4×4 Padawan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam (BFWDA) dan juga satu-satunya negara yang diwakili oleh pasukan wanita berjaya membuktikan mereka setanding pemandu lelaki dalam Cabaran 4×4 Antarabangsa Padawan bermula dari 22 hingga 24 Mei 2015.

Sebelum ini, pengerusi penganjur Wilfred Yap berkata penyertaan kumpulan BFWDA pastinya akan menjadikan kejohanan sukan ekstrem yang dianjurkan buat julung kali oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu lebih menarik.

“Saya pasti mereka ini akan memberi cabaran sengit kepada peserta terutama bagi Kategori C. Pasukan ini adalah antara 60 pasukan yang akan mengambil bahagian daripada Thailand, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Semenanjung Malaysia dan Sabah yang sudah pun mengesahkan penyertaan mereka pada cabaran pertama seumpamanya di Sarawak,” ujarnya pada sidang media 20 Mei lalu.

Menurut Yap lagi, program yang berlangsung di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) dianjurkan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM), badan bertanggungjawab kepada sukan permotoran di Malaysia.

Pasukan wanita BFWDA menjuarai Kategori C Cabaran 4x4 Padawan dan satu lagi pasukan mereka mendapat tempat keenam dalam Kategori B.
Pasukan wanita BFWDA menjuarai Kategori C Cabaran 4×4 Padawan dan satu lagi pasukan mereka mendapat tempat keenam dalam Kategori B.

“Cabaran Kategori C dalam kejohanan ini memang sukar bagi pemandu wanita kami, tetapi apa yang pasti, kami menjuarainya,” kata Pengurus BFWDA, Awang Mazlani Mahadi.

“Sepanjang kejohanan ini, kami telah merentasi sungai, mendaki dan menuruni bukit. Kejohanan ini sungguh mencabar,” ujar Awang Mazlani.

BFWDA mendapat tempat keenam dalam Kategori B daripada 10 penyertaan dan menjuarai Kategori C daripada sembilan penyertaan. Para pemenang juga membawa pulang hadiah trofi, sijil penyertaan dan wang tunai.