PATA bantu pulihkan pelancongan Nepal

PATA bantu pulihkan pelancongan Nepal

KATHMANDU, 26 Mei (Bernama) – Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) berkata ia akan bekerjasama dengan kerajaan Nepal dan agensi-agensi lain untuk memulihkan industri pelancongan Nepal, yang teruk terjejas akibat gempa bumi pada 25 April lepas.

PATA dalam kenyataan di sini Selasa berkata, persatuan pelancongan antarabangsa akan mengambil inisiatif untuk membantu dan menyokong industri pelancongan Nepal untuk bangkit semula selepas gempa bumi.

PATA dengan kerjasama kerajaan Nepal dan agensi-agensi lain akan menyediakan pelan pemulihan dengan garis panduan jelas serta pelan tindakan pada pertengahan Jun melibatkan beberapa pakar PATA secara langsung, katanya.

Naib Presiden PATA, Andrew Jones dan pakar pengurusan krisis Bert Van Walbeek, yang mempunyai banyak pengalaman dalam pengurusan krisis dan telah membantu negara-negara seperti Filipina, Thailand, Bali, Sri Lanka yang menghadapi bencana alam serta kesan peperangan, kini berada di Nepal untuk membantu memulihkan industri pelancongan, selepas gempa bumi.

Interaksi antara pihak berkuasa PATA dan pengusaha pelancongan Nepal telah diadakan di sini pada Isnin dan membincangkan pelan tindakan bersama untuk kebangkitan semula industri pelancongan Nepal yang jatuh merudum selepas gempa bumi.

Dalam perbincangan itu, Jones memberi jaminan PATA akan menggerakkan rangkaiannya untuk membantu Nepal manakala Walbeek menyampaikan pelbagai idea inovatif untuk pemulihan industri pelancongan di Nepal.

Sebagai maklum balas, Setiausaha Pelancongan Nepal Suresh Man Shrestha berkata negara itu akan menyediakan pelan jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang dalam kerjasama itu, bagi pemulihan semula sektor pelancongan Nepal.

Perniagaan pelancongan telah merudum kerana hampir semua pelancong membatalkan tempahan hotel dan tiket penerbangan manakala pelancong yang berada di Nepal sama ada telah meninggalkan Nepal atau memendekkan lawatan mereka selepas gempa bumi berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA