Patahkan cubaan seludup gas, curi motosikal

Patahkan cubaan seludup gas, curi motosikal

Oleh Arissa

 

LAWAS, 24 Jun – Polis berjaya mematahkan cubaan untuk menyeludup keluar gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran Indonesia melalui jalan darat dalam operasi cegah jenayah berterusan di sempadan Ba Kelalan Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata rampasan dilakukan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran Pos Sempadan Imigresen Ba Kelalan.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati barangan gas LPG mendapat permintaan tinggi dari penduduk di sempadan kerana barang asas itu sukar diperolehi di daerah-daerah Inonesia yang sukar dihubungi melalui jalan darat.

“Bekalan gas LPG dari daerah Lawas menjadi pilihan utama penduduk di sempadan untuk mendapatkan bekalan,”katanya di sini semalam.

Abang Zainal berkata lagi sebanyak lima tong gas Shell, 15 gelen diesel, dan enam gelen petrol di rampas dalam kejadian itu.

Katanya rampasan dibuat untuk dirujuk dan diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Dalam kes berasingan beliau memberitahu dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi motosikal yang dilaporkan berlaku di Pekan Kecil Sundar Jumaat lepas.

Jelas beliau suspek berusia 43 dan 24 yang juga penduduk tempatan mengaku mencuri motorsikal itu untuk dijual dengan pihak ketiga.

“Operasi dijalankan oleh sepasukan polis yang diketuai Inspektor Khairul Anuar Omar membuat tangkapan ke atas suspek.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai cuba untuk mengecat motosikal berkenaan bagi mengaburi pihak polis,”katanya.

Beliau menjelaskan lagi laporan polis dibuat mangsa, 57, dari Kampung Aru Sundar jam 8.05 pagi pada hari sama sebaik menyedari motosikal yang di parkir di kawasan kuarters kerajaan hilang sekitar jam 4 pagi.

“Kita berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh tidak sampai 24 jam dengan tertangkapnya kedua-dua suspek yang telah dituduh di Mahkamah Majistret Lawas pada Ahad lepas di bawah Seksyen 411 (Kanun Keseksaan),”ujarnya lagi.