Patahkan komplot Hizbullah bom Yahudi

Patahkan komplot Hizbullah bom Yahudi

BAITULMAQDIS, 16 Jun (Reuters) – Cyprus percaya ia Berjaya mematahkan komplot oleh pergerakan Hizbullah untuk menyerang warga Yahudi, menurut Menteri Luar negara itu semalam, selepas peralatan membuat bom ditemui di sebuah rumah di Cyprus.

Seorang lelaki warga Lubnan-Kanada berusia 26 tahun kini dalam tahanan berkaitan dengan penemuan sejumlah peralatan membuat bom tersebut termasuk ammonium nitrat di bahagian bawah sebuah rumah di Larnaca pada bulan lepas.

Awal bulan ini, Israel berkata Cyprus ada memaklumkan bahawa baja berkenaan bakal digunakan bagi pembuatan bom oleh Hizbullah, militia Lubnan yang bermusuh dengan Israel, dan warga Israel atau Yahudi di Cypris mungkin menjadi sasaran. Ditanya mengenai insiden itu, Menteri Luar Cyprus Loannis Kasoulides berkata: “Maklumat yang anda sebutkan itu adalah betul.” Ditanya pula sama ada komplot pembuatan bom oleh Hizbullah itu berjaya dipatahkan, beliau berkata: “Barangkali sudah.”

Seorang pegawai kanan Israel, dengan memetik maklumat yang diterima dari Cyprus, memberitahu Reuters bahawa ammonium nitrat tersebut dihasratkan untuk membuat sejumlah besar bom untuk turut dijadikan “simpanan” bagi serangan masa depan.

ARTIKEL YANG SAMA