Patahkan rancangan serang Yahudi

Patahkan rancangan serang Yahudi

BAITULMAQDIS, 26 Ogos (AFP) – Pihak berkuasa Israel semalam berkata mereka berjaya mematahkan rancangan untuk menyerang masyarakat Yahudi di Makam Joseph di Nablus di Tebing Barat yang diduduki serta memberkas empat warga Palestin.

Para suspek dipercayai merancang untuk meletakkan bom buatan sendiri di kawasan tersebut dan melepaskan tembakan ke arah para pengunjung Yahudi, menurut agensi keselamatan domestik Shin bet dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa mengenal pasti anggota jihad Islam bernama Rafat Mohamed Darwish yang mereka tuduh mengarahkan dan membekalkan senjata kepada anggota militan bagi rancangan serangan berkenaan.

Mereka mendakwa bahawa Darwish menjadi penghubung di antara cawangan jihad Islam di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, dua wilayah Palestin yang dipisahkan oleh Israel.

Israel mengkategorikan jihad Islam sebagai pertubuhan pengganas dan mempersalahkannya bagi empat serangan roket minggu lepas dari Syria ke utara Israel dan Bukit Golan yang diduduki Israel.

Mogok lapar oleh seorang tahanan Palestin Mohammed Allan, yang dikatakan merupakan anggota jihad Islam, juga turut menjurus kepada kontroversi sejak beberapa minggu lepas.

Bantahan tersebut mencetuskan gesaan bagi Israel supaya mengekang penggunaan bentuk tahanan tanpa perbicaraan selama tempoh enam bulan yang boleh diperbaharui bila-bila masa.