PATI ditahan di Tawau

PATI ditahan di Tawau

TAWAU, 27 Mac (Bernama) – Jabatan Imigresen Tawau menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dalam operasi bersepadu bersama-sama pihak Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) di rumah pekerja ladang di kawasan Balung, dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Imigresen Tawau Noraini Rasi berkata dalam operasi yang bermula 3 pagi di rumah pekerja di kawasan Indera Sabah dan Kampung Wakuba itu, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berumur antara 18 dan 37 tahun.

Katanya, PATI berkenaan adalah sebahagian daripada 136 individu yang diperiksa dalam operasi itu.

Kesemua PATI kini ditempatkan di Pusat tahan Sementara Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen, katanya.

Noraini berkata, operasi seumpama itu akan diadakan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kemasukan PATI ke Sabah dan Tawau khususnya.