Patkor berjaya kekang aktiviti haram sempadan M’sia-Indonesia

Patkor berjaya kekang aktiviti haram sempadan M’sia-Indonesia

NANGA BADAU, Kalimantan Barat, 13 Okt – Patroli Terkoordinasi (Patkor) antara Tentera Negara Indonesia dan Tentera Darat Malaysia telah berjaya mengekang aktiviti haram di sempadan kedua-dua negara.

Pegawai Staf Logistik Korem (Kasilogrem) 121/Alam Bhana Wannawai (ABW) Kolonel Czi Sukamdi berkata Patkor dapat mengelak aktiviti haram seperti pembalakan, perlombongan, pemerdagangan manusia dan juga penyeludupan dadah daripada berlaku.

“Patkor diharap dapat terus mengekang perkara negatif sekali gus mencipta keamanan dan ketahanan kawasan perbatasan yang kita harapkan bersama,” katanya. ketika berucap merasmikan Patkor Siri 2/2016 di Pos Kotis Nanga Badau di sini, hari ini. Majlis itu turut dihadiri Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, Pegawai Memerintah Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4KAD) Leftenan Kolonel Mohd Nizam Masri dan Pegawai Memerintah Batalyon Infanteri 312 Kala Hitam (Yonif 312 Kala) Yusuf Rizal.

Anggota tentera Malaysia dan Indonesia bersalaman selepas perasmian Pembukaan Patroli Terkoordinasi (Patkor) siri 2/2016 antara Tentera Nasional Indonesia dan Tentera Malaysia di Pos Kotis Nanga Badau kelmarin. - Bernama
Anggota tentera Malaysia dan Indonesia bersalaman selepas perasmian Pembukaan Patroli Terkoordinasi (Patkor) siri 2/2016 antara Tentera Nasional Indonesia dan Tentera Malaysia di Pos Kotis Nanga Badau kelmarin. – Bernama

Patkor merupakan aktiviti dua kali setahun yang diadakan secara penggiliran melibatkan pasukan yang beroperasi di sempadan kedua-dua negara.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah membuat rondaan di perbatasan kedua-dua negara secara bersama dan melaksanakan program Jiwa Murni.

Sukamdi berkata masalah perbatasan merupakan fenomena yang sentiasa menjadi fokus serta perhatian oleh semua negara di dunia. – Bernama