Patuhi akta hindari kesalahan

Patuhi akta hindari kesalahan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Nov – Agensi penguatkuasaan kerajaan di Daerah Belait yang menjalankan operasi pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan telah mendapati beberapa kesalahan yang melanggar syarat-syarat dan peraturan-peraturan di bawah Akta-akta Kawalan Bangunan 2015 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972.

Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, antara kesalahan-kesalahan tersebut adalah seperti membina bangunan, membuat tambahan bangunan dan mengubahsuai dalam premis perniagaan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa berkenaan.

Kesalahan lain termasuk penyalahgunaan syarat khas tanah di bawah Akta Kanun Tanah 1909 Penggal 40, menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Akta Lesen Perniagaan Penggal 127, 2015, penyalahgunaan pekerja asing dan tidak mengikut piawaian kebersihan dalam dan di luar premis perniagaan.

Antara agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat semasa operasi tersebut terdiri daripada Jabatan Daerah Belait, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa cawangan Belait dan Jabatan Tanah cawangan Daerah Belait.

Mengikut keluaran statistik keseluruhan lesen perniagaan yang dikeluarkan adalah sebanyak 407 buah lesen, daripada jumlah tersebut terdapat 52 lesen perniagaan yang baru dikeluarkan sejak Akta Lesen Perniagaan Penggal 127, 2015 mula dikuatkuasakan pada 1 Mac 2015.

Pemeriksaan agensi penguatkuasaan kerajaan di Daerah Belait ketika melaksanakan tugasan mereka dalam memastikan para peniaga mematuhi undang-undang.
Pemeriksaan agensi penguatkuasaan kerajaan di Daerah Belait ketika melaksanakan tugasan mereka dalam memastikan para peniaga mematuhi undang-undang.

Agensi-agensi penguatkuasaan juga menyarankan pemilik tanah, bangunan dan peniaga-peniaga supaya membuat permohonan melalui saluran dan agensi yang berkenaan terlebih dahulu dan agar dapat mematuhi kehendak undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kenyataan itu menambah, jika kegagalan dalam mematuhi undang-undang, peraturan serta syarat-syarat maka tindakan boleh diambil seperti lesen perniagaan boleh digantung sementara sehingga perkara yang dikehendaki dipenuhi dan jika masih gagal, pihak perlesenan Jabatan Daerah Belait akan menarik kembali lesen perniagaan yang dibenarkan.

Peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan di daerah ini dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai tatacara permohonan dan peraturan boleh menghubungi Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait di talian 3332555 / 6 / 7 / 8 atau Jabatan Perancang Bandar dan Desa cawangan Belait di talian 3330106.

Bagi Jabatan Tanah di talian 3331542, Divisyen Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) di talian 2383222 dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik cawangan Belait di talian 3340013.

Agensi-agensi Penguatkuasaan Daerah Belait juga berhasrat dengan adanya kepatuhan dalam syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan adalah bagi menjaga kepentingan dan keselamatan orang ramai melalui peningkatan keselamatan bangunan.

Selain itu, tujuannya adalah untuk mengekalkan aspek keindahan, mengelak impak pembangunan terhadap kesihatan dan alam sekitar, menjaga kesihatan supaya tidak menjejaskan alam sekitar dan penghuninya dari segi kebersihan dan seumpamanya.

ARTIKEL YANG SAMA