Patuhi Peraturan Am dengan sebaiknya

Patuhi Peraturan Am dengan sebaiknya

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Sikap pekerja-pekerja yang tidak menepati waktu bekerja adalah masalah utama yang menyalahi Peraturan-peraturan Am dalam perkhidmatan awam, di samping masalah-masalah lain seperti etika berpakaian dan etika kerja.

Pekerja yang datang lewat, keluar makan sarapan pagi terlalu lama dan meninggalkan kerja semasa waktu bekerja, balik terlalu awal tanpa alasan-alasan tertentu yang munasabah, telah menjadi lumrah di dunia pekerjaan sektor kerajaan.

Ini merupakan antara perkara yang ditekankan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 1, Ketua Unit Pembangunan dan Perancangan Sumber Manusia, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Sufri bin Haji Kurus dalam Taklimat Peraturan-peraturan Am Perkhidmatan Awam dan Peraturan-peraturan Kewangan Negara Brunei Darussalam yang telah berlangsung hari ini, di Dewan Ta’lim, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Taklimat berkenaan diadakan bagi mengingati semula para penjawat awam di KUPU SB mengenai Peraturan-peraturan Am yang sebelum ini mereka telah ketahui terutama ketika baru-baru mendapat pekerjaan di sektor kerajaan namun telah diselubungi dengan kelalaian dan kebiasaan oleh sebab pemerhatian mereka terhadap rakan sekerja yang lain.

Pengiran Anak Haji Damit Baharuddin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Pengiran Anak Haji Damit Baharuddin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Sebahagian daripada warga KUPU SB yang menghadiri Taklimat Peraturan-peraturan Am dan Peraturan Kewangan, kelmarin.
Sebahagian daripada warga KUPU SB yang menghadiri Taklimat Peraturan-peraturan Am dan Peraturan Kewangan, kelmarin.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Rasmi KUPU SB dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pendaftar KUPU SB, Pengiran Anak Haji Damit Baharuddin bin Pengiran Anak Safiuddin.
Pengiran Anak Haji Damit Baharuddin dalam ucapannya berkata, taklimat tersebut yang diadakan atas nasihat pucuk pimpinan tertinggi KUPU SB, bertujuan sebagai komitmen berterusan pejabat pendaftar dalam memberikan kefahaman berterusan kepada semua penjawat awam di KUPU SB.

“Dengan memberikan kefahaman berterusan saya dan kita selaku penjawat awam wajiblah sama-sama bertanggungjawab dalam mentaati segala peraturan yang telah digarispandukan.

“Maka dengan mengadakan taklimat ‘General Order’ ini adalah bertepatan masanya dan diharapkan kepada semua kakitangan di KUPU SB, bukan saja untuk memahami dengan baik, tetapi wajib dipatuhi dan ditaati sebagaimana kita taat dan patuh perintah Allah S.W.T dan takut seksaan akhirat nanti,” jelas Pemangku Pendaftar KUPU SB lagi.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Awang Basar, Penolong Ra’es KUPU SB, Dr. Abang Haji Hadzmin bin Abang Haji Taha.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai utama, dekan-dekan, pengarah-pengarah, timbalan-timbalan dekan, pensyarah-pensyarah, penolong-penolong pensyarah, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan KUPU SB.

ARTIKEL YANG SAMA