Patukan ular ...

Patukan ular wajar dirawat segera

TIDAK semua ular mempunyai bisa yang boleh menyebabkan kematian. Oleh itu, tidak semua patukan ular berbahaya.

Namun, semua pesakit yang dipatuk ular perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.

Komplikasi yang mungkin berlaku akibat patukan adalah ular bergantung kepada jenis ular, jumlah bisa yang masuk ke dalam badan mangsa, kawasan anggota badan yang dipatuk, usia mangsa dan juga masalah kesihatan mangsa.

Kanak-kanak mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi. Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah kesihatan yang pelbagai. Simptom awal biasanya berlaku seawal satu jam pertama.

Luka pada kawasan patukan akan berasa sakit, kebas dan kemerahan. Selain itu ia mungkin berdarah dan bengkak. Perlu diperhatikan lubang patukan untuk memastikan ia adalah kesan patukan ular yang biasanya mempunyai dua lubang.

Semua pesakit yang dipatuk ular perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.
Semua pesakit yang dipatuk ular perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.

Ini kerana ada kalanya ia bukan daripada patukan ular. Kekeliruan sering berlaku terutama jika berlaku di kawasan hutan atau belukar.

Jika bisa berkenaan hasil patukan jenis ular yang berbisa seperti ular tedung, simptom lain boleh berlaku dalam masa yang pendek. Mangsa akan mengalami sesak nafas, pening, berpeluh, penglihatan menjadi kabur, muntah, cirit-birit, jantung berdebar, badan kepanasan dan adakala boleh menyebabkan sawan dan tidak sedarkan diri.

Tetapi harus diingat, ada kalanya simptom berkenaan terjadi disebabkan serangan panik atau ‘cuak’ disebabkan ketakutan daripada patukan itu.

Ini juga boleh mengundang masalah lain atau kematian terutama jika membabitkan warga emas yang menghidap pelbagai masalah kesihatan lain.

Perkara asas pertama yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan patukan ular ialah tidak boleh cemas dan panik. Sama ada mangsa atau yang membantu hendaklah tenang.

Pastikan itu adalah kesan daripada taring patukan ular. Basuh kawasan luka secepat mungkin dengan air bersih dan sabun untuk mematikan kuman. Balut dengan kain bersih pada kawasan luka untuk memberhentikan pendarahan.

Jangan sekali-sekali ikat kawasan itu dengan ketat kerana boleh menyebabkan gangguan bekalan salur darah ke kawasan berhampiran dan menyebabkan komplikasi tidak diingini.

Cubaan menyedut keluar bisa dari kawasan luka juga tidak membantu mengeluarkan bisa itu. Memotong daging yang berdekatan dengan kawasan gigitan juga tidak memberi kesan rawatan apa-apa, malah mengeruhkan lagi keadaan dan berisiko pendarahan.

Bawa segera ke hospital berdekatan supaya luka itu dapat dibersihkan.

Ujian darah dilakukan untuk memastikan organ utama tiada komplikasi.

Selain itu ia untuk memastikan mangsa stabil daripada reaksi alahan yang mungkin boleh berlaku daripada bisa ular, walaupun ular tidak berbisa.

Gambaran tepat mengenai jenis ular sangat penting dan membantu. Ini kerana suntikan antibisa diberikan untuk jenis ular tertentu saja.

ARTIKEL YANG SAMA