Paus Beaked Whale terdampar di Bintulu

Paus Beaked Whale terdampar di Bintulu

BINTULU, 13 Dis – Seekor ikan paus spesies Beaked Whale ditemui terdampar tidak bernyawa di kawasan pantai Tanjung Batu pagi semalam meskipun sebelum itu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu berusaha menyelamat dan melepasnya semula ke laut, lapor Utusan Borneo edisi online hari ini.

Kehadiran spesies ikan jarang dilihat walaupun dalam keadaan tidak bernyawa menggemparkan orang ramai sehingga mereka berpusu-pusu ke pantai Tanjung Batu untuk melihat lebih dekat termasuk merakam gambar kenangan serta berselfie dengan mamalia laut terbabit.

Jurucakap Sarawak Forestry Corporation (SFC) menjelaskan spesies ikan terbabit seakan-akan ikan lumba-lumba namun ia merupakan spesies dikenali sebagai Beaked Whale.

“Bangkai ikan itu akan dihantar ke Taman Negara Similajau untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebelum bangkai ditanam termasuk tulangnya diambil untuk disimpan memandangkan spesies itu jarang ditemui,” katanya.

Kakitangan Taman Tumbina Bintulu dengan dibantu orang awam mengukur spesies ikan yang ditemui terdampar mati di pantai Tanjung Batu semalam. – Utusan Borneo
Kakitangan Taman Tumbina Bintulu dengan dibantu orang awam mengukur spesies ikan yang ditemui terdampar mati di pantai Tanjung Batu semalam. – Utusan Borneo

Manakala info Wikipedia menjelaskan Beaked Whale atau paus berparuh adalah anggota keluarga Ziphiidae terdiri daripada 22 spesies.

Paus bergigi ini terkenal paruh memanjang dan merupakan haiwan bernafas serta penyelam paling ekstrem.

Paus ini mampu menyelam selama satu jam pada kedalaman 1,000 meter (3,300 kaki) dan terpanjang dan terdalam dengan mencari makan serta menyelam selama 137.5 minit dan 2,992 meter (9,816 kaki).

Malah ia diiktiraf sebagai penyelam terbaik dalam kalangan mamalia laut.

Paus berparuh salah satu kelompok mamalia dikenali sebagai habitat hidup di laut dalam dan mempunyai kebiasaan misteri.

Sementara itu, pengurusan Taman Tumbina Bintulu BDA melakukan kerja mengukur mamalia laut itu semalam dengan hasilnya ukur lilit kepala ikan itu adalah 54 inci, panjangnya 15 kaki setengah dan diameter (ukur lilitnya) badannya 80 inci tetapi beratnya tidak diketahui.