Paus putih kelihatan di Australia

Paus putih kelihatan di Australia

SYDNEY, 26 Julai – Seekor ikan paus kelasa putih yang begitu jarang dilihat, kelihatan hari ini di pinggir pantai Australia apabila ikan paus itu membuat perjalanan untuk berpindah ke perairan tropika yang lebih panas untuk mengawan.

Ikan paus albino itu dipercayai ‘Migaloo’, seekor ikan paus putih seluruh badan yang pertama kali dilihat pada 1991.

Migaloo adalah perkataan Orang Asli bermaksud “whitefella”.

Ikan paus itu dilihat dan digambar di Teluk Byron di pantai timur Australia, yang sedang dalam perjalanan menuju utara pada pemindahan tahunannya dari Antartika ke perairan yang lebih panas di negeri Queensland.

“Saya menangis. Saya menjerit ‘Ikan paus cantik, terima kasih kerana bersama dengan kami hari ini,” Alison Reid, yang melihat Migaloo dalam kapal pelayaran, memberitahu radio nasional.

Ikan paus putih yang kelihatan di perairan Australia.
Ikan paus putih yang kelihatan di perairan Australia.

“Ikan paus itu begitu menakjubkan. Ia satu yang luar biasa, ia begitu di luar fikiran.”

Oskar Peterson, orang yang mengendalikan Pusat Penyelidikan Ikan Paus Putih di Australia, berkata satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Southern Cross pada 2004, yang berupaya untuk mendapatkan sampel kulit ikan paus itu, telah menunjukkan Mingaloo adalah ikan paus jantan. Ikan paus itu kini dipercayai berumur kira-kira 30 tahun.

Ikan paus itu dijangka akan membuat perjalanan sejauh Cooktown di kawasan tropika Australia sebelum membuat perjalanan balik ke Antartika akhir tahun ini.

Jumlah populasi ikan paus kelasa timur Australia telah dibangkitkan semula daripada ambang kepupusan berikutan penghentian pemburuan ikan paus pada awal 1960-an. Bagaimanapun, dipercayai hanya terdapat dua atau tiga kelasa putih di dunia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA