Paus spesies Sei ditemui mati di Batu Pahat

Paus spesies Sei ditemui mati di Batu Pahat

BATU PAHAT, 10 Feb – Paus yang ditemui mati di muara Sungai Sarang Buaya, Semerah dekat Batu Pahat, di sini, merupakan paus jantan dewasa daripada spesies Sei atau nama saintifiknya Balaenoptera Borealis.

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Rantau Abang, Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata paus berukuran 12 meter panjang dan seberat 15 tan itu juga merupakan spesies terancam yang disenaraikan Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

“Paus ini berkemungkinan mengalami gangguan emosi selepas terpisah daripada kumpulannya dan kemudian terdampar di Pantai Rambah, dekat Pontian, dua hari lepas.

“Berkemungkinan organ dalamannya sudah mengalami kerosakan selepas terdampar di Pontian yang kemudiannya menyebabkan mamalia itu bertindak membunuh diri walaupun sudah dilepaskan ke laut,” katanya kepada pemberita di Jeti Pejabat Perikanan Batu Pahat, kelmarin.

Terdahulu, paus terbabit yang ditemukan mati kira-kira 6 petang semalam, ditunda sejauh 15 batu nautika menggunakan sebuah bot nelayan kelas A, mulai 12 tengah hari kelmarin, sebelum berjaya didaratkan di jeti terbabit menggunakan kren, kira-kira 3 petang.

Sebuah kren digunakan untuk mengangkat bangkai ikan paus ke atas jeti Pejabat Perikanan Batu Pahat kelmarin. Ikan paus spesis Sei atau nama saintifik Balaenoptera Borealis sepanjang 12 meter dan seberat 15 tan ditemui mati oleh nelayan di Pantai Sarang Buaya, Semerah, Batu Pahat. – Bernama
Sebuah kren digunakan untuk mengangkat bangkai ikan paus ke atas jeti Pejabat Perikanan Batu Pahat kelmarin. Ikan paus spesis Sei atau nama saintifik Balaenoptera Borealis sepanjang 12 meter dan seberat 15 tan ditemui mati oleh nelayan di Pantai Sarang Buaya, Semerah, Batu Pahat. – Bernama

Mohd Tamimi berkata berdasarkan pengalaman, kejadian kematian paus daripada spesies tersebut merupakan kali keempat di negara ini dalam tempoh 10 tahun iaitu di Pulau Carey di Selangor, Pantai Nenasi di Pahang, Banting di Selangor sebelum di Sungai Sarang Buaya.

Beliau berkata kehadiran spesies paus ketiga terbesar di dunia tersebut di perairan negara ini bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan perairan negara ini merupakan laluan bagi haiwan itu.

Katanya, spesies berkenaan biasanya akan berenang mengikut musim dan mencari organisme kecil, plankton, anak ikan ataupun anak udang yang banyak terdapat di perairan negara ini.

“Buat masa ini pihak kami akan melakukan bedah siasat terhadap bangkai paus ini yang dijangka mengambil masa seminggu. Dagingnya akan dilupuskan manakala tulangnya akan dibawa ke FRI Rantau Abang,” katanya. – Bernama