Pawagam terbesar dibuka di Sandakan

Pawagam terbesar dibuka di Sandakan

SANDAKAN, 31 Julai – Pawagam terbesar di bandar ini, Lotus Five Star (LFS), kini dibuka kepada orang ramai selepas dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinemari Datuk Md Afendi Hamdan berkata projek pembinaan pawagam ini bermula sejak dua tahun lepas dan bersempena pembukaannya, LFS meraikan pelanggan dengan memberi tiket percuma selama seminggu bermula pada 23 Julai lalu sehingga semalam.

“LFS ini dilengkapi sistem audio tercanggih Dolby Atmos dan mempunyai tujuh skrin digital serta mampu memuatkan 1,000 orang penonton dalam satu-satu masa,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melihat kenderaan diubah suai seperti kenderaan yang digunakan dalam filem Ghostbuster yang dipamerkan ketika perasmian Pawagam Lotus Five Star (LFS) di Bangunan Harbour Mall semalam. LFS ini dilengkapi dengan sistem audio tercanggih Dolby Atmos dan mempunyai tujuh skrin digital serta mampu memuatkan 1,000 orang penonton dalam satu masa.

Menurutnya pembinaan pawagam tersebut bukan semata-mata untuk tujuan hiburan, sebaliknya turut berperanan dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi bandar Sandakan yang mempunyai kira-kira 500,000 penduduk.

Afendi berkata dengan pembukaan LFS, seramai 60 golongan belia tempatan diambil untuk bekerja dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada setiap pelanggan.

Menurutnya pawagam ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah menjadi pusat tumpuan masyarakat dari luar daerah seperti Kinabatangan, Telupid,dan Beluran yang secara tidak langsung akan merancakkan lagi ekonomi di Sandakan. – Bernama