Payet bantu Perancis atasi Cameroon

Payet bantu Perancis atasi Cameroon

NANTES, Perancis, 31 Mei – Pemain West Ham, Dimitri Payet menyempurnakan sepakan percuma di saat akhir bagi membantu tuan rumah Euro 2016 meraih kemenangan 3-2 ke atas Cameroon, awal pagi tadi.

Perancis membuka tirai jaringan menerusi pemain Paris Saint-Germain, Blaise Matuidi sebelum Cameroon pantas menyamakan kedudukan, hasil jaringan penyerang Porto, Vincent Aboukar.

Penyerang Arsenal, Olivier Giroud kembali meletakkan tuan rumah di depan sebelum rehat namun Eric Choupo Moting menyamakan kedudukan sebelum Payet membezakan kedudukan antara mereka.

“Masih ada ruang yang boleh kami pertingkatkan tetapi ini adalah perlawanan pertama pasukan selepas berehat lama tanpa sebarang kejohanan buat beberapa pemain,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

“Ini adalah perlawanan pertama di mana Adil Rami dan Laurent Koscielny bermain bersama selepas tempoh yang lama dan kami bertemu sebuah pasukan berkualiti.

Payet (kanan) ketika bersaing bersama pemain Cameroon, Eyong Enoh Tarkang semasa perlawanan bola sepak persahabatan antara Perancis dan Cameroon di Stadium La Beaujoire di Nantes, barat Perancis, semalam. – AP
Payet (kanan) ketika bersaing bersama pemain Cameroon, Eyong Enoh Tarkang semasa perlawanan bola sepak persahabatan antara Perancis dan Cameroon di Stadium La Beaujoire di Nantes, barat Perancis, semalam. – AP

“Cameroon bermain dengan sistem baharu di mana kekuatan dan kelajuan di bahagian tengah dan serangan. Saya tidak menjangkakan kesempurnaan tetapi semangat sudah ada dalam pasukan.”

Sementara itu jurulatih Cameroon, Hugo Broos, berkata: “Bagi saya keputusan adalah 2-2 kerana kami hanya ditewaskan menerusi penyudah sepakan percuma Dimitri Payet, bakat yang sebenar.

“Pemain boleh berbangga dengan prestasi mereka. Saya harap kita dapat mengekalkan semangat ini apabila bertemu Mauritania (kelayakan Piala Negara Afrika).” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA