PB cipta rekod lulus terbaik

PB cipta rekod lulus terbaik

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Pelajar Politeknik Brunei cipta rekod lulus 100 peratus Ujian Bertulis Undang-Undang Permainan bagi Kursus Asas Pengadil Bolasepak Kelas 3 dan Kursus Asas Pengadil Futsal.

Rekod terbaik bagi Kursus Asas Pengadil Bolasepak Kelas 3 sebelum ini adalah 96 peratus lulus, manakala bagi Kursus Asas Pengadil Futsal hanyalah 87 peratus lulus, dedah EXCO NFABD merangkap Yang Di-Pertua Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam, Awang Zulkifle bin Haji Duraman dalam ucapan laporannya.

Beliau menyampaikan berita gembira itu semasa Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Pengadil Bolasepak Kelas 3 dan Kursus Asas Pengadil Futsal, Program Kerjasama NFABD dan Politeknik Brunei di NFABD House petang ini.

Seramai 38 orang pelajar Politeknik Brunei telah menerima sijil kehadiran masing-masing iaitu sejumlah 18 orang daripadanya selesai menyertai Kursus Asas Pengadil Bolasepak Kelas 3, manakala 20 orang lagi berjaya menamatkan Kursus Asas Pengadil Futsal.

Kedua-dua kursus berkenaan dianjurkan bersama oleh NFABD dengan Politeknik Brunei, yang merupakan program pertama di bawah Memorandum Persefahaman NFABD dengan Politeknik Brunei yang telah dimeterai pada 23 November 2015 yang lalu.

Pengiran Mohd Amir Rizal ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar Politeknik Brunei yang menyertai Kursus Asas Pengadil Futsal NFABD.
Pengiran Mohd Amir Rizal ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar Politeknik Brunei yang menyertai Kursus Asas Pengadil Futsal NFABD.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta Kursus Asas Pengadil Bolasepak Kelas 3 ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Man Tai.

Manakala peserta Kursus Asas Pengadil Futsal menerima sijil mereka masing-masing daripada Pemangku Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Mohd Amir Rizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Kedua-dua kursus telah dijalankan selama empat hari pada 7 hingga 9 dan 11 Mac yang lalu meliputi sesi teori dan amali Undang-undang Permainan termasuk Ujian Kecergasan dan Ujian Bertulis di hari terakhir kursus pada 11 Mac yang lalu.

Lima orang Instruktor Pengadil FIFA tempatan telah memudahcara Kursus Asas Pengadil Bolasepak Kelas 3 iaitu Degat anak Chandau, Awang Mohd Yusof Zaki bin Haji Serudin, Awang Mohd Yusof bin Abdullah, Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Tajuddin dan Awang Mohd Rahim bin Kati.

Turut membantu menjayakan kursus berkenaan ialah Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Haji Budin dan Awang Zulkifle sendiri.

Pada dua hari pertama kursus, para peserta belajar mengenai Undang-undang Permainan Bolasepak di bilik kuliah Politeknik Brunei, manakala pada hari ketiga kursus mereka mengikuti sesi amali di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Kursus Asas Pengadil Futsal pula dimudahcara oleh dua orang instruktor/pengadil futsal iaitu Instruktor Pengadil FIFA merangkap Pengadil FIFA, Haji Dasnan bin Haji Abdul Rahman dan Naib Yang Di-Pertua, AJK Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Awang Bakri bin Haji Bintang.

Turut membantu ialah Yang Di-Pertua AJK Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Haji Hamidon bin Haji Matzin dan Pengadil FIFA, Awang Sukry bin Haji Matassim.

Di bawah MoU NFABD dengan Politeknik Brunei itu, NFABD akan menyumbangkan kepakaran dan sumber-sumbernya melalui program latihan bola sepak dan futsal di Politeknik Brunei dan program yang bermula hari ini berkenaan dirancang untuk ditawarkan pada setiap semester di samping pelbagai program berkaitan yang lain.

Program-program yang dirancang di bawah MoU tersebut termasuk dalam Modul Pengayaan di Pusat Pembangunan Pelajar dan Inovasi (CSDI), Politeknik Brunei yang merupakan modul wajib.

Menerusi modul berkenaan, para pelajar digalakkan untuk menyertai dan terlibat dalam pelbagai program kokurikulum dan aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran serta kecekapan yang akan memperkayakan kehidupan seharian mereka.

Modul berkenaan mempunyai empat program utama di dalamnya iaitu Pembangunan Kepimpinan, Pembangunan Individu, Pembangunan Kokurikulum & Penglibatan Sivik, dan Tanggungjawab Sosial (Kemasyarakatan).

Justeru, sukan adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Kokurikulum yang menggalakkan para pelajar untuk menyertai program-program yang boleh mempertingkatkan kemahiran dan bakat mereka masing-masing.

Bagi pihak NFABD pula, kursus berkenaan akan dapat membantu menambah jumlah pengadil futsal tempatan yang aktif, sekali gus mengelakkan masalah kekurangan pengadil futsal dalam mana-mana kejohanan tempatan yang ternyata sangat aktif dijalankan di sepanjang tahun sehingga hanya bulan Ramadhan ianya direhatkan.