PB pamer projek pelajar

PB pamer projek pelajar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Sebanyak 28 kumpulan yang terdiri daripada 165 orang pelajar pengambilan ke-4 Sekolah Perdagangan, Politeknik Brunei (PB) telah mempamerkan projek akhir tahun mereka pada Pameran Belia Berwawasan Menjana Ekonomi, yang dirasmikan hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan perasmian yang berlangsung di Lobi & One Stop Centre, Politeknik Brunei pagi tadi ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai.

Dalam ucapannya, Awang Denis menjelaskan, pameran ini bertujuan untuk mempamerkan hasil-hasil kajian pelajar setelah membuat kajian selama enam bulan dalam mengenal pasti produk atau perkhidmatan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang dipilih daripada 22 majlis perundingan kampung di keempat-empat daerah.

Kemudian para pelajar dikehendaki menyediakan strategi realistik dalam memajukan dan mengembangkan lagi produk dan perkhidmatan yang ada.

Projek ini juga bertujuan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berkepimpinan dan berwawasan di samping untuk mendapat pengetahuan dan pengalaman daripada projek mereka.

Pemangku Pengarah Politeknik Brunei menyampaikan cenderahati kepada wakil-wakil daerah dan kementerian.
Pemangku Pengarah Politeknik Brunei menyampaikan cenderahati kepada wakil-wakil daerah dan kementerian.
Pemangku Pengarah Politeknik Brunei melawat salah satu petak pameran.
Pemangku Pengarah Politeknik Brunei melawat salah satu petak pameran.
Antara yang hadir menyaksikan pameran tersebut.
Antara yang hadir menyaksikan pameran tersebut.

Beliau menyatakan harapan bahawa dengan projek yang dijalankan akan dapat dijadikan panduan dalam membawa perubahan kepada kepimpinan dan pengurusan sama ada untuk pelajar itu sendiri mahu pun ke arah bangsa, agama dan negara.

Beliau menegaskan agar pelajar-pelajar sentiasa bersedia untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan negara di samping bermotivasi tinggi dalam mengekalkan kecemerlangan bagi membina sifat-sifat kreatif, proaktif, interaktif dan seterusnya menerapkan budaya profesionalisme agar kehidupan pelajar-pelajar hari ini lebih baik.

“Kita berbangga dan rasa bersyukur bila mana wujudnya para pelajar yang berwawasan yang sedikit sebanyak memberi khidmat bakti kepada masyarakat khususnya kepada perekonomian ahli majlis perundingan kampung.”

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa melalui hubungan baik antara para pelajar dan ahli majlis perundingan kampung, mereka akan dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman terutamanya dalam kemahiran perniagaan.

Daripada 28 kumpulan itu, sebanyak 11 kumpulan telah diagihkan di Daerah Brunei dan Muara, enam kumpulan di Daerah Tutong, enam di Daerah Belait dan lima lagi ditetapkan di Daerah Temburong.

Sebelum merasmikan majlis, Awang Denis turut menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada wakil Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Daerah Temburong.

Majlis kemudian menyaksikan tetamu kehormat membuat lawatan ke petak-petak pameran yang ada.

ARTIKEL YANG SAMA