PBB adakan mesyuarat tergempar berikutan tindakan Pyongyang

PBB adakan mesyuarat tergempar berikutan tindakan Pyongyang

PBB, 7 Feb – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan pelancaran roket Korea Utara seperti yang dipinta oleh AS, Jepun dan Korea Selatan, menurut pejabat media PBB.

Rundingan tertutup majlis 15 negara itu tentang Korea Utara mengambil tempat pada jam 11 pagi, menurut kenyataan PBB semalam. Para diplomat majlis berkata AS, Jepun dan Korea Selatan meminta diadakan rundingan selepas Korea Utara melancarkan roket jarak jauh semalam yang membawa apa yang dikatakannya adalah satelit dalam mengingkari sekatan PBB yang menegahnya dari menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.

Duta PBB Korea Selatan Oh Joon telah menulis dalam sepucuk surat kepada Duta Venezuela Rafael Dario Ramirez Carreno bahawa majlis itu pada tahun 2013 telah melahirkan “keazamannya untuk mengambil langkah penting seterusnya sekiranya Korea Utara melancarkan atau menguji nuklear.”

Reuters telah memperoleh salinan surat Korea Selatan itu yang ditujukan kepada duta Venezuela, yang juga presiden Majlis Keselamatan bulan ini.

AS dan China telah membincangkan kemungkinan perluasan sekatan PBB ke atas Korea Utara dalam respons kepada ujian nuklear terbaru bulan lalu. Para diplomat majlis berkata mereka berharap akan mengundi resolusi PBB berhubung isu itu lewat bulan ini. Seorang diplomat berkata pelancaran roket itu memperlihatkan perlunya ‘tindakan keras’ oleh majlis itu ke atas Korea Utara.

Secara berasingan, Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon sekeras-kerasnya menyelar pelancaran roket terbaru Korea Utara dan menggesanya “menghentikan tindakan provokasi,” pejabat media mengatakan dalam satu kenyataan semalam. – Reuters