PBB akui peranan media sosial

PBB akui peranan media sosial

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) – Media sosial penting dalam membantu mengumpul maklumat semasa bencana gempa bumi di Nepal baru-baru ini, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon.

Beliau berkata sambil mengenal pasti keperluan mereka yang terselamat dan penduduk yang terjejas di kawasan bencana, media sosial memainkan peranan penting bagi membolehkan media penyiaran tradisioanal menyiarkan apa yang telah dimuat naik di platform itu.

“Ketika gempa bumi pertama melanda Nepal, satu-satunya laporan yang diterima hanya melalui peranti mudah alih,” katanya ketika menyampaikan mesej khas menerusi rakaman video sempena pembukaan Sidang Kemuncak Media Asia (AMS) 2015 di sini Selasa.

Ban berkata sistem PBB juga telah mengumpulkan komuniti digital untuk membantu respons bencana di Nepal menggunakan telefon mudah alih untuk menyebarkan maklumat dan mesej kepada komuniti yang terjejas.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon. – AFP
Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon. – AFP

Sementara itu, dalam mesej videonya, Ban juga mengalu-alukan semua peserta AMS 2015 untuk terus membincangkan media sosial yang memberi impak yang besar dalam tabiat tontonan global.

AMS 2015 bertemakan ‘Transformasi Penyiaran Dalam Era Media Sosial’ membabitkan 500 pengamal media di seluruh dunia berkongsi pengetahuan dalam kewartawanan penyiaran pada acara tiga hari itu yang bermula hari ini.