PBB cari calon setiausaha agung

PBB cari calon setiausaha agung

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, Amerika Syarikat, 13 April (AFP) – Calon yang berusaha menjadi bakal setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjawab soalan semalam mengenai krisis global, daripada perubahan iklim kepada konflik Timur Tengah, ketika perbincangan pertama untuk memilih diplomat tertinggi dunia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuka perbincangan awam selama tiga hari dalam dewan yang penuh, melencong daripada kerahsiaan yang menyelubunyi pilihan ketua PBB dalam sejarah 70 tahunnya.

Tiga daripada sembilan calon cuba mendapatkan jawatan itu kepada Perhimpunan Agung yang terdiri daripada 193 negara, membentangkan wawasan mereka sebagai pengganti kepada Ban Ki-moon, yang akan meletak jawatan pada 1 Januari.

Selama beberapa dekad, pilihan ketua PBB telahpun diberikan kepada Majlis Keselamatan dan lima anggota tetap mereka – Britain, Perancis, China, Rusia dan Amerika Syarikat – dalam proses yang sebahagiannya diadakan di sebalik pintu tertutup.

Namun Perhimpunan Agung pada tahun lalu mengundi untuk merombak proses tersebut, meminta calon menghantar surat permohonan formal, menyatakan keterangan ringkas tentang maklumat diri dan hadir pada mesyuarat.

Keputusan muktamad untuk melantik seorang calon masih terletak pada Majlis Keselamatan, namun suasana terbuka baru itu mungkin memberikan tekanan kepada kuasa besar untuk memilih seorang calon dengan daya penarik yang lebih meluas.

Menteri Luar Montenegro Igor Luksic – pada usia 39 tahun, paling muda daripada calon – pertama membuat pembentangan, beralih daripada bahasa Inggeris kepada Perancis dalam satu ucapan yang menyentuh mengenai asal-usul Balkan dan cara-cara untuk mempertingkat birokrasi PBB.

Perlumbaan untuk menjadi setiausaha agung PBB akan meningkat pada Julai, apabila Majlis Keselamatan memulakan pungutan suara untuk mengukur sokongan untuk calon. Pengundian terakhir dijangka diadakan pada September, apabila 15 anggota majlis akan menghantar seorang calon ke Perhimpunan Agung, yang dijangka menyokong pilihan tersebut.