PBB digesa siasat dalang MH17

PBB digesa siasat dalang MH17

GENEVA, 22 Julai – Rusia cuba mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan dalam siasatan ke atas punca pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada tahun lepas, selepas menolak cadangan Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine untuk menubuhkan satu tribunal tajaan PBB.

Negara-negara terbabit diketuai Belanda, menjalankan siasatan jenayah ke atas tragedi berkenaan dan mengedarkan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan PBB pada awal bulan ini berhubung penubuhan tribunal untuk mendakwa dalang kes tersebut.

Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berfaedah dan belum sampai waktunya.

Rusia kemudian mengedarkan draf resolusi PBB yang mendesak dalang tragedi itu dibawa ke muka pengadilan.

Draf resolusi Rusia itu meminta Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon melaporkan kepada Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh dua minggu berhubung langkah yang akan meningkatkan peranan badan dunia itu dalam siasatan ke atas kes MH17 dan melantik utusan khas PBB berhubung tragedi berkenaan.

Serpihan bangkai pesawat MH17 yang telah ditembak jatuh di Ukraine tahun lepas. - Reuters
Serpihan bangkai pesawat MH17 yang telah ditembak jatuh di Ukraine tahun lepas. – Reuters

Draf itu juga melahirkan kebimbangan siasatan keselamatan yang dijalankan telah tertangguh dan tidak telus dalam pertubuhan itu dan pendekatan yang diambil, yang boleh memberi kesan negatif ke atas hasil siasatan.

Anggota Majlis Keselamatan PBB membincangkan kedua-dua draf resolusi itu, semalam.

Duta New Zealand ke PBB, Gerard van Bohemen yang mempengerusikan badan keselamatan itu pada bulan ini berkata, perbincangan yang diadakan bersifat positif tetapi menyatakan cabaran utama merupakan isu penubuhan tribunal tersebut.

“Terdapat sokongan kuat untuk menubuhkan satu tribunal. Sudah tentunya, Rusia mempunyai perspektif berbeza,’’ katanya kepada wartawan.

Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin sebelum ini berkata, Moscow menentang penubuhan tribunal antarabangsa itu kerana ia tidak termaktub dalam Piagam PBB.

“Majlis Keselamatan PBB tidak sepatutnya menangani situasi seperti ini,’’ katanya.

Sementara itu, Duta Britain ke PBB, Matthew Rycroft berkata, pihaknya tidak menyokong draf Rusia.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lepas yang menyaksikan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya terbunuh. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA