PBB fokuskan penghantaran bantuan

PBB fokuskan penghantaran bantuan

DAMSYIK, 29 Feb (AFP) – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia untuk menghantar bantuan kepada ribuan orang awam dalam kawasan kepungan di Syria, apabila gencatan senjata memasuki hari ketiga walaupun beberapa tuduhan pencabulan perjanjian telah dilakukan.

Penyelaras kemanusiaan PBB Yacoub El Hillo berkata badan dunia berharap untuk mengambil kesempatan bagi gencatan senjata utama pertama dalam konflik lima tahun untuk mengagihkan bekalan-bekalan kepada lebih 154,000 orang yang tinggal di kawasan-kawasan kepungan dalam masa lima hari mendatang.

Gencatan senjata yang berjaya juga akan mewujudkan latar belakang yang lebih menggalakkan bagi rundingan-rundingan damai yang musnah pada awal Februari apabila serangan ofensif Rusia yang menyokong rejim di utara Syria menyebabkan puluhan ribu melarikan diri.

Utusan PBB Staffan de Mistura berhasrat untuk melancarkan semula rundingan itu pada 7 Mac jika gencatan senjata kekal dan lebih banyak bantuan dihantar.

Kumpulan pembangkang utama kelmarin menggambarkan gencatan senjata itu sebagai “positif” namun membuat satu aduan rasmi dengan PBB dan kerajaan-kerajaan asing mengenai pencabulan.

Warga Syria yang berada di dalam kawasan kepungan pemberontak membaiki paip air di kawasan tersebut. – Reuters
Warga Syria yang berada di dalam kawasan kepungan pemberontak membaiki paip air di kawasan tersebut. – Reuters

“Kami punyai pencabulan di sana sini, namun secara amnya ia lebih baik daripada sebelumnya dan orang-orang selesa,” ujar Salem al-Meslet, jurucakap bagi Jawatankuasa Rundingan-rundingan Tertinggi bagi pembangkang yang disokong Arab Saudi.

Meslet berkata pihak pembangkang mahu melihat gencatan senjata itu “kekal selamanya” dan ia adalah “tanggungjawab Amerika Syarikat untuk menghentikan sebarang pencabulan.”

Satu surat HNC kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon menuduh rejim Syria dan sekutu-sekutunya melakukan “24 pencabulan dengan pengeboman meriam dan lima operasi darat… dalam 26 kawasan yang dikawal oleh pihak pembangkang sederhana.

Ia berkata pencabulan perjanjian itu telah mengorbankan 29 orang dan mencederakan berdozen-dozen.

Pihak HNC telah berkata ia tidak menerima sebarang peta kawasan-kawasan yang termasuk dalam gencatan senjata atau dokumen-dokumen menerangkan mekanisme pemantauan.

Akhbar Al-Watan Syria, yang begitu rapat dengan kerajaan, kelmarin berkata peta-peta itu masih “dirahsiakan.”