PBB gesa Guinea ‘segera’ berunding

PBB gesa Guinea ‘segera’ berunding

CONAKRY, 3 Jun (AFP) – Kerajaan Guinea dan pembangkang negara itu perlu mengadakan rundingan “segera” mengenai pelaksanaan pilihan raya presiden yang boleh dipercayai tahun ini, menurut utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afrika Barat semalam.

“Ada tempoh lima bulan lagi sebelum tamat tempoh mandat presiden sekarang,” kata Mohamed Ibn Chambas pada sidang media di Conakry sempena lawatannya ke negara berkenaan.

“Justeru, rundingan perlulah diberikan keutamaan oleh semua pihak terbabit.”

Utusan tersebut mengadakan pertemuan dengan Presiden Guinea Alpha Conde, selain para pemimpin politik dan kerajaan yang lain, serta tidak ketinggalan pegawai-pegawai suruhanjaya pilihan raya negara itu.

Beliau berkata turut menggalakkan suruhanjaya pilihan raya dan institusi kerajaan yang terbabit dalam pelaksanaan pilihan raya supaya segera memberikan fokus kepada usaha menjalankan pilihan raya.

Lawatan beliau dibuat berikutan pertempuran selama berminggu-minggu di antara aktivis antikerajaan dan pasukan keselamatan di ibu negara dan bandar-bandar lain yang menyebabkan beberapa orang maut serta berbelas-belas cedera.

Pembangkang Guinea mendesak dilaksanakan pilihan raya tempatan menjelang pemilihan presiden pada Oktober, tetapi menuduh Conde menolak permintaan itu kerana beliau mahu mengekalkan kroninya dalam pentadbiran tempatan demi membantunya menipu pada pengundian tersebut.

Bagaimanapun presiden menafikan dakwaan itu, sambil menyatakan bahawa para pegawai tempatan tidak akan terlibat dalam pilihan raya presiden.

Pada 25 Mei lepas Conde meminta kerajaan pimpinannya supaya membuka rundingan dengan para pemimpin pembangkang bertujuan menamatkan kebuntuan politik.

Bagaimanapun pembangkang berkata tiada sebarang kemajuan sekatan ini.