PBB gesa Myanmar pastikan kebebasan media

PBB gesa Myanmar pastikan kebebasan media

YANGON, 3 Mei (AFP) – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini menggesa Myanmar untuk memastikan wartawan boleh membuat laporan ‘tanpa rasa takut’ semasa pilihan raya umum penting akhir tahun ini ketika negara bekas junta itu meraikan Hari Kebebasan Media Dunia di Yangon.

Seruan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa bahawa Myanmar kembali menentang kebebasan media semenjak negara itu muncul daripada pemerintahan tentera dalam 2011, selepas beberapa orang wartawan ditahan dan kematian seorang wartawan bebas dalam tahanan tentera tahun lalu.

“Kami menggesa pihak berkuasa untuk melakukan usaha istimewa semasa tempoh pilihan raya bagi memastikan komuniti media mendapat akses bebas dan sepenuhnya, serta melaporkan dengan bebas tanpa takut dan gertakan daripada sesiapa sahaja,” kata ketua pejabat Myanmar bagi agensi budaya UNESCO, Sardar Umar Alam.

Alam berkata demikian pada satu acara dianjurkan bersama oleh UNESCO dan Kementerian Penerangan.

Ketua pembangkang Aung San Suu Kyi yang menyampaikan ucaptama di acara itu, juga mencerminkan peranan media menjelang pilihan raya November yang dilihat sebagai satu kunci ujian peralihan politik negara.

Media boleh membantu memastikan ‘satu pilihan raya bebas dan adil’ dia memberitahu audiens lebih daripada 100 orang termasuk wartawan, pegawai kerajaan dan duta UK dan AS ke Myanmar di sebuah hotel di pusat bandar Yangon.

“Perjalanan negara kita ke arah demokrasi sudah terbantut. Saya menggesa komuniti media membantu memulakan semula perjalanan itu,” katanya, menambah bahawa kebebasan media tulen di Myanmar ‘masih jauh perjalanannya.’

Kumpulan pemerhati media berpusat di Paris, Reporters Without Borders meletakkan Myanmar pada rangking 144 daripada 180 negara dan wilayah bagi kebebasan media dalam senarai tahunannya, daripada yang terbaik kepada yang terburuk dalam Februari.