PBB gesa ujian nuklear diharamkan di seluruh dunia

PBB gesa ujian nuklear diharamkan di seluruh dunia

NEW YORK, 11 Sept (Bernama) – Ketika meraikan sambutan Hari Menentang Ujian Nuklear Antarabangsa (IDANT) pada Khamis, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyentuh tentang bencana yang berpunca daripada ujian nuklear dan menggesa negara yang belum berbuat demikian supaya menandatangani dan mengesahkan perjanjian antarabangsa bagi pengharaman ujian itu.

Sambil menceritakan pengalaman beliau, Ki-moon memberitahu perhimpunan di PBB bahawa beliau telah melihat sendiri ‘kerosakan yang menimpa masyarakat, alam sekitar dan ekonomi akibat ujian nuklear’.

“Sejak ujian pertama dilakukan di New Mexico 70 tahun lepas, dunia kemudiannya menyaksikan lebih 2,000 ujian nuklear diadakan. Ujian ini memusnahkan alam sekitar dan penduduk setempat di seluruh dunia.

“Ramai yang terus menderita akibat ujian nuklear – termasuk air bawah tanah yang beracun, kanser, kecacatan sejak lahir dan kesan buruk akibat radioaktif.

“Hari ini, marilah kita sama-sama menghantar satu isyarat jelas dan tegas bahawa masyarakat antarabangsa bersatu hati untuk mengambil tindakan yang akan membolehkan kita menikmati dunia yang lebih selamat – dunia yang bebas daripada senjata nuklear,” katanya.

Ki-moon menyifatkan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT), yang diterima pakai pada 1996, sebagai ‘sebuah blok bangunan penting bagi mencapai matlamat ini sebagai suatu kaedah yang terikat oleh undang-undang dan mampu dilaksanakan bagi mengekang pembangunan senjata nuklear secara kuantitatif dan kualitatif’.

Sambil menegaskan bahawa perjanjian itu perlu dikuatkuasakan untuk menjamin keberkesanannya, Ki-moon menyeru negara yang belum menandatangani dan mengesahkan instrumen berkenaan supaya berbuat demikian, termasuk China, Republik Rakyat Demokratik Korea, Mesir, India, Iran, Israel, Pakistan dan Amerika Syarikat.

Kepentingan CTBT juga diperkatakan Presiden Perhimpunan Agung, Sam Kutesa, yang menegaskan tentang betapa perlunya dunia dibebaskan daripada ujian nuklear.

Pemangku Wakil Tertinggi Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Kim Won-soo pula menegaskan tentang kepentingan norma sejagat menentang ujian nuklear.

Bagaimanapun, acara paling menarik hari ini ialah majlis makan tengah hari yang diadakan di Pejabat Perwakilan Tetap Kazakhstan di New York sempena IDANT, yang menonjolkan tentang bahaya ujian nuklear terhadap alam sekitar dan kemanusiaan.

Wakil Tetap Kazakhstan di PBB, Duta Besar Kairat Abdrakhmanov, tokoh popular dalam kalangan masyarakat diplomatik tempatan, membangkitkan minat para tetamu berprofil tinggi pada majlis yang dihoskan Pejabat Perwakilan Tetap Kazakhstan itu,apabila beliau mengemukakan soalan kuiz secara tidak formal tentang ujian nuklear.

Para hadirin dengan santai dan gembira menjawab soalan yang beliau ajukan berhubung pelbagai peringkat ujian nuklear yang diadakan di seluruh dunia serta kesannya terhadap alam sekitar.

Kazakhstan menawarkan diri sebagai calon untuk menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2017 dan 2018.

ARTIKEL YANG SAMA