PBB: Guinea bebas Ebola

PBB: Guinea bebas Ebola

CONAKRY, 29 Dis – Guinea diisytiharkan bebas daripada Ebola hari ini selepas lebih daripada 2,500 orang meninggal dunia akibat virus itu di negara Afrika Barat, meninggalkan Liberia satu-satunya negara yang masih menunggu pengiraan detik pelancaran untuk berakhirnya wabak.

Penduduk di ibu negara, Conakry, menyambut pengisytiharan oleh pihak berkuasa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),PBB dengan perasaan bercampur berdasarkan kematian dan kerosakan akibat virus ke atas ekonomi dan sektor kesihatan dan pendidikan negara.

“Beberapa ahli keluarga saya sudah mati. Keadaan ini menunjukkan betapa perlunya kami berjuang untuk mereka yang masih hidup,” beritahu Fanta Oulen Camara, yang bekerja untuk Medecins Sans Frontieres Belgium, kepada Reuters.

“Selepas saya semakin sembuh, perkara paling sukar adalah memujuk orang supaya menerima saya. Kebanyakan orang yang biasanya menyokong saya telah meninggalkan saya. Malah sekolah di tempat saya bekerja sebagai pengajar telah menyingkirkan saya. Keadaan menjadi amat sukar,” kata Camara, 26, yang jatuh sakit pada Mac 2014.

Ebola telah menyebabkan 6,200 kanak-kanak menjadi anak yatim piatu di Guinea, kata Rene Migliani, pegawai di pusat penyelarasan nasional untuk kempen menentang Ebola.

Terdapat lebih daripada 3,800 kes Ebola di Guinea daripada lebih 28,600 kes di seluruh dunia dengan 11,300 kematian, menurut angka daripada WHO.

Hampir kesemua kes dan kematian dicatat di Guinea dan negara jiran Liberia dan Sierra Leone.

Sebuah negara diisytiharkan bebas daripada Ebola 42 hari selepas pemulihan atau kematian pesakit terakhir dan jika tidak adanya jangkitan baru.

Liberia telah kehilangan lebih daripada 4,800 orang akibat demam berdarah, tetapi jika segalanya berjalan lancar, ia akan diisytiharkan bebas daripada virus pada Januari.

Negara itu telah diisytiharkan bebas daripada Ebola pada Mei dan September, namun setiap kali hendak diistytiharkan kes baru akan muncul.

Sierra Leone secara rasmi menamatkan wabaknya pada November. – Reuters