PBB hantar bekalan makanan ke Deir Ezzor

PBB hantar bekalan makanan ke Deir Ezzor

PERTUBUHAN BANGSA BERSATU, 11 April (Bernama) – Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar bantuan makanan menerusi udara kepada penduduk kelaparan di Deir Ezzor pada Rabu.

Deir Ezzor terletak di timur Syria iaitu kawasan yang dikawal kumpulan militan Islamic State (IS) atau Daesh.

Bantuan makanan berjaya disalurkan ke kawasan terkepung itu buat pertama kalinya sejak Mac 2014, lapor agensi berita China Xinhua.

Sejumlah 20 tan metrik bekalan makan seperti kacang, kacang kuda dan beras yang boleh menampung keperluan 2,500 orang untuk tempoh sebulan telah dihantar dengan pesawat sewa khas, kata agensi PBB itu dalam kenyataan.

Daripada 26 palet mengandungi bahan makanan yang digugurkan menggunakan payung terjun hanya 22 palet berjaya dikumpulkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Syria selaku rakan kerjasama WFP. WFP sedang mengesan baki lagi empat palet. Sejak Mac 2014, lebih 200,000 orang tinggal dalam kepungan di Deir Ezzor dan amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Menurut kenyataan itu lebih banyak bekalan makanan akan digugurkan dari udara dalam waktu terdekat untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan kepungan.

WFP berkata pesawat yang membawa bantuan makanan itu terbang dari Lapangan Terbang Marka di Jordan dan kaedah mengugurkan bekalan dari udara dilihat sebagai satu kaedah yang mudah serta jimat.

Pada 24 Febuari, WFP telah menjalankan operasi penghantaran yang pertama menggunakan kaedah itu untuk menyalurkan 21 tan bantuan makanan.