PBB hanya terima $22 juta daripada $415 diperlukan

PBB hanya terima $22 juta daripada $415 diperlukan

KATHMANDU, 8 Mei (AFP) – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini berkata ia hanya menerima $22 juta dari $415 juta yang dipohonkan untuk Nepal ekoran kejadian gempa bumi baru-baru ini dan menggesa bagi sumbangan bantuan ‘ditambah serta merta.’

Jamie McGoldrick, penyelaras menetap PBB bagi Nepal memberi amaran tentang ‘kesuntukan masa untuk menghantar bekalan ke kawasan terpencil – yang sesetengahnya hanya boleh didatangi dengan berjalan kaki – sebelum hujan monsun tiba, yang dijangkakan dalam bulan Jun.

Beribu-ribu orang terjejas akibat gempa bumi yang memusnahkan pada 25 April, dan lebih 7,800 orang terbunuh.

“Dari $415 juta yang dipohonkan untuk membantu campur tangan kemanusiaan segera, hanya $22.4 juta telah diterima. Ini perlu ditambah serta merta,” McGoldrick memberitahu pemberita di bandar Kathmandu.

“Keperluan bantuan terus sangat besar dan kami dengan segera perlukan dana untuk dapat meneruskan kerja kami. “Kami perlu menghantar bantuan segera, supaya penduduk mempunyai tempat untuk berteduh dan keperluan segera mereka yang lain ditangani sebelum musim monsun bermula,” katanya lagi.

Penduduk tempatan berjalan melepasi rumah roboh selepas gempa bumi 25 April di Bhaktapur, Nepal, 8 Mei. – Reuters
Penduduk tempatan berjalan melepasi rumah roboh selepas gempa bumi 25 April di Bhaktapur, Nepal, 8 Mei. – Reuters

Gempa bumi dengan 7.8 magnitud melanda kawasan luas negara miskin Himalaya itu dalam bencana Nepal yang paling banyak mengorbankan nyawa dalam tempoh 80 tahun.

Ia memusnahkan hampir 300,000 buah rumah dan mencederakan hampir 16,000 orang. Lebih 100 orang terbunuh di India dan China. Paul Dillon, pengurus projek di Pertubuhan Antarabangsa bagi Penghijrahan, menggesa masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan usaha.

“Seseorang perlu memulakan,” dia memberitahu pemberita di Kathmandu hari ini. “Kita tidak boleh menggerakkan respons pada kredit. Mereka yang telah menawarkan bantuan perlu menunaikan janji mereka.”