PBB isytihar Rohingya berdepan genosid, krisis kemanusiaan

GENEVA, 6 Dis – Minoriti Rohingya Myanmar ‘berkemungkinan besar’ berdepan jenayah kemanusiaan dan kemungkinan berlaku genosid, angkara pasukan keselamatan Myanmar dan para pembantu mereka, menurut pegawai tertinggi PBB dan badan tertinggi hak asasi kemanusiaan PBB semalam.

Ulasan itu dibuat pada sesi penting Majlis Hak Asasi Kemanusiaan 47 Anggota dengan ramai yang meluluskan resolusi yang mengatakan jenayah kemanusiaan ‘berkemungkinan besar’ berlaku di Myanmar ke atas kumpulan minoriti Islam sejak tindakan keselamatan bermula pada Ogos lalu.

Krisis itu telah mengakibatkan bilangan penduduk Rohingya yang tidak terkira jumlahnya terbunuh dan tercedera dan memaksa lebih 626,000 orang melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Marzuki Darusman, yang mengetuai misi pencarian fakta ke atas Myanmar, diberi mandat oleh majlis itu tidak diberi akses untuk memasuki Rakhine, negeri yang dipertikaikan yang pernah didiami oleh masyarakat Rohingya, merekodkan rungutan tentang dakwaan termasuklah jenayah rogol kanak-kanak perempuan, yang sesetengahnya dibakar hingga mati atau leher mereka dikelar dan mangsa-mangsa dicacatkan.

Darusman berkata “dakwaan itu sangat banyak dan kebanyakannya teruk. Sesetengahnya membuat kesimpulan bahawa genosid atau jenayah kemanusiaan telah berlaku.”

Zeid Ra’ad al Hussein (kiri) dan Presiden Majlis Hak Asasi Kemanusiaan, Joaquin Alexande Maza Marteli (kanan) ketika membuat kenyataan semasa sesi khas Majlis Hak Asasi Kemanusiaan terhadap ‘situasi kemanusiaan minoriti Muslim Rohingya’ dan lain-lain minoriti Rakhine, Myanmar, semalam. – AP

Kami belum membuat sebarang kesimpulan berhubung isu-isu ini, namun kami amat mengambil serius dakwaan ini dan menelitinya secara mendalam.”

Tetapi ketua hak asasi kemanusiaan PBB, Zeid Ra’ad al-Hussein mencabar majlis itu, dengan menegaskan bahawa kemungkinan genosid adalah betul.

Zeid, seorang putera Jordan menyebutkan tentang pengasingan, pemisahan dan penindasan yang sekian lama dihadapi oleh Rohingya.

Dia merujuk kepada tuduhan pembunuhan dengan menggunakan bom tangan, tembakan jarak dekat, tikaman dan ‘pembakaran rumah dengan keluarga-keluarga di dalamnya.” Dia menyatakan Rohingya melihat diri mereka sendiri sebagai kumpulan etnik berbeza. – AP