PBB kecam serangan udara AS

PBB kecam serangan udara AS

KABUL, 30 Sept – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengecam kematian 15 orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, dalam serangan udara AS ke atas militan Islamic State (IS) di timur Afghanistan, meminta siasatan bebas dilancarkan dalam pembunuhan tersebut.

Serangan dron berlaku pada Rabu di Daerah Achin, sarang pemberontak IS di wilayah Nangarhar berhampiran sempadan dengan Pakistan, tatkala penduduk kampung berkumpul untuk mengalu-alu seorang pemimpin puak yang telah pulang daripada jemaah haji.

“UNAMA mengecam pembunuhan sekurang-kurangnya 15 lelaki awam dan mencedera sekurang-kurangnya 13 orang lain, termasuk sekurang-kurangnya seorang budak lelaki dalam serangan itu,” kata Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan lewat semalam.

“Mangsa awam serangan termasuk pelajar dan seorang guru, serta ahli keluarga yang dianggap pro-kerajaan.”

Pihak berkuasa Afghan sebelumnya meletak angka kematian orang awam di antara tiga dan 13 orang.

Tentera Amerika mengakui ia telah menjalankan “serangan udara cegah keganasan” pada Rabu, menambah ia masih menyiasat kejadian itu.

“Tentera Amerika Syarikat-Afghanistan memandang serius semua dakwaan kematian orang awam,” kata tentera AS dalam satu kenyataan, memaparkan cabaran mensasarkan pemberontak IS yang telah menembusi Nangarhar.

“Daesh sedang membunuh lelaki, wanita dan kanak-kanak Afghan yang tidak bersalah. Mereka terus mengancam nyawa orang yang tidak bersalah dengan mengelilingi diri mereka dengan orang awam dan berpakaian dalam pakaian wanita,” katanya, menggunakan akronim Arab untuk IS.

Islamic State pertama muncul di Afghanistan pada lewat 2014 dan telah mencabar gerakan Afghan Taliban yang lebih besar di sebahagian daripada kawasan timur negara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA