PBB keluarkan Arab Saudi daripada senarai hitam

PBB keluarkan Arab Saudi daripada senarai hitam

NEW YORK, 10 Jun – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata beliau mengeluarkan buat sementara pakatan tentera diketuai Arab Saudi di Yaman daripada senarai hitam kerana melanggar hak kanak-kanak.

Ini katanya berikutan ancaman penyokong negara itu untuk menghentikan dana yang banyak bagi membiayai program badan dunia itu.

Ban berkata, beliau perlu mempertimbangkan ‘prospek sebenar’ jutaan kanak-kanak lain di wilayah Palestin, Sudan Selatan, Syria, Yaman dan banyak tempat lain yang menderita jika program PBB tidak dibiaya.

“Ini adalah antara keputusan paling menyakitkan dan sukar perlu saya lakukan,” katanya. Ban selalu menjadi subjek tekanan daripada 193 negara anggota.

Namun dalam kritikan yang jarang dibuat, Ban berkata dalam kes ini sesetengah negara bertindak keterlaluan, mengisytiharkan ‘tindakan negara anggota memberi tekanan berlebihan tidak boleh diterima.’

Beliau memberi reaksi kepada apa yang digelarnya ‘tindak balas keras’ kepada keputusannya, yang dikecam kumpulan hak asasi manusia.

Mereka menuduh Ban tunduk kepada Arab Saudi dan berkata pasukan tentera pakatan itu perlu dimasukkan dalam senarai hitam kerana menyerang kanak-kanak, sekolah dan hospital.

Ban menegaskan beliau berperang kepada laporan tahunan mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata, yang menggambarkan keadaan yang tidak sepatutnya dihadapi kanak-kanak. – AP