PBB kritik pencabulan hak asasi Iran, Korea Utara

PBB kritik pencabulan hak asasi Iran, Korea Utara

TEHRAN/PBB, 18 Dis (AFP) – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam mengkritik Iran dan mengecam Korea Utara berhubung pencabulan hak asasi manusia dalam resolusi yang diterima oleh badan yang terdiri daripada 193 negara tersebut.

Sejumlah 119 negara mengundi menyokong resolusi yang mengecam pencabulan “melampau” di Korea Utara dan menggalakkan Majlis Keselamatan supaya merujuk Pyongyang kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Langkah yang digubal oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun itu ditentang oleh 19 negara termasuk sekutu Pyongyang China, Rusia, Sudan, Cuba, Iran, Mesir, Zimbabwe dan Venezuela. Empat puluh lapan negara tidak mengundi.

Pengundian menunjukkan kecaman yang lebih terhadap Korea Utara berbanding tahun lalu, apabila resolusi yang sama diterima oleh pengundian 116 berbanding 20, dengan 53 tidak mengundi.

Resolusi menuntut rangkaian kem penjara di Korea Utara yang dipercayai menempatkan 100,000 banduan yang tinggal dalam keadaan teruk ditutup.

Korea Utara telah bertindak marah terhadap langkah tersebut, menggelarnya “produk konfrontasi politik” oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Satu resolusi yang dirangka oleh Kanada meluahkan “kebimbangan serius” mengenai penggunaan hukuman mati di Iran yang diterima oleh satu pengundian 81 berbanding 37, dengan 67 undi berkecuali.

Iran telah dikritik mengenai penggunaan hukuman mati dengan lebih 800 orang dilaksana hukuman mati pada tahun ini, jumlah tertinggi dalam bertahun-tahun lamanya. Ia adalah resolusi pertama mengenai rekod hak asasi manusia Iran yang diterima sejak perjanjian nuklear bersejarah dicapai dengan kuasa besar.

ARTIKEL YANG SAMA