PBB mahu langkah berani dalam sistem pengangkutan

PBB mahu langkah berani dalam sistem pengangkutan

ASHGABAT, Turkmenistan, 27 Nov – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar langkah-langkah berani dan inovatif diutamakan dalam pembentukan semula sistem pengangkutan, dari reka bentuk hingga teknologi serta corak penggunaan.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata memandangkan pengangkutan mempunyai impak kesihatan awam yang ketara, kerajaan memerlukan lebih banyak sistem mesra alam, pada harga berpatutan dan boleh diakses, yang boleh dicapai melalui kemajuan teknologi.

“Kita perlu membuat semua sistem pengangkutan selamat dan dapat mencapai sasaran tinggi yang ditetapkan dalam Agenda 2030 yang mahukan sistem pengangkutan dengan akses yang selamat, pada harga berpatutan, boleh diakses dan mampan untuk semua.

“Kita perlu menangani kesan alam sekitar dalam (industri) pengangkutan bagi mengurangkan kesan perubahan iklim serta pencemaran udara tempatan,” katanya dalam ucapan pada sesi pembukaan Persidangan Pengangkutan Lestari Global PBB yang pertama, di sini pada Sabtu.

Persidangan dua hari itu menandakan langkah penting dalam pelaksanaan Agenda 2030 bagi Pembangunan Lestari dan pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Lestari.

Ban juga menegaskan mengenai kepentingan untuk mencapai pengangkutan mampan yang boleh memacu pertumbuhan inklusif, mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kemiskinan, pasaran terbuka, memperkasa wanita serta membantu menjamin kesejahteraan kumpulan yang lemah lain.

“Kita perlu pandangan luas yang menyelesaikan masalah saling berkait dalam pengangkutan dengan satu rangka kerja dasar yang bersepadu. Ia perlu selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari dan harus mengambil kira interaksi antara perbezaan mod pengangkutan.

“Kita perlu menangani keperluan negara-negara yang mudah terjejas, termasuk negara-negara mundur, negara membangun dilingkungi daratan dan negara membangun pulau kecil,” kata beliau sambil menambah bahawa negara-negara ini memerlukan rentasan sempadan yang dipermudahkan serta peraturan yang diselaraskan.

Ban juga menyentuh mengenai keperluan pembiayaan dalam membangunkan sistem pengangkutan, menggerakkan dana daripada pelbagai sumber dan memupuk kerjasama Utara-Selatan, Selatan-Selatan dan segi tiga. Bagi mencapai matlamat ini, beliau berkata, perkongsian awam-swasta sangat diperlukan.

“Kita perlu menggerakkan semua rakan dengan mengutamakan rakyat dalam perancangan pengangkutan – dan bekerjasama. Pengangkutan ialah satu kerja berpasukan.

“Melalui gabungan luas kerajaan, organisasi antarabangsa, perniagaan dan masyarakat awam, kita boleh menjadikan pengangkutan mampan satu realiti,” katanya. Sektor pengangkutan pada masa ini mencakupi kira-kira satu perempat daripada pelepasan gas rumah hijau setiap tahun, manakala 1.25 juta orang meninggal dunia di jalan raya akibat kemalangan, dengan 90 peratus daripada mereka terkorban di negara-negara membangun.

Persidangan dua hari yang dianjurkan oleh kerajaan Turkmenistan, bermula pada Sabtu, telah mengumpulkan pihak berkepentingan utama kerajaan dari lebih 80 negara, termasuk Ketua-ketua Negara, Ketua dan Timbalan Ketua kerajaan, menteri-menteri negara-negara anggota PBB, dan wakil-wakil dari sistem PBB dan organisasi antarabangsa yang lain. – Bernama