PBB pertimbang lawat Afgahnistan

NEW YORK, 12 Jan – Presiden Majlis Keselamatan PBB berkata semalam bahawa anggotanya sedang mempertimbangkan lawatan ke Afghanistan untuk menunjukkan perpaduan dengan penduduk Afghanistan, bertemu dengan pegawai kerajaan dan melihat secara langsung situasi di negara yang dilanda peperangan itu.

Duta Kazakhstan Kairat Umarov, yang memegang jawatan presiden majlis pada bulan ini, berkata badan pertubuhan itu belum mengunjungi Afghanistan selama tujuh tahun dan lawatan akan memberikan anggotanya peluang untuk memahami keperluan dan prospek negara tersebut.

Beliau memberitahu wartawan bahawa beliau berharap dapat memimpin misi majlis tetapi enggan bercakap mengenai masanya.

Penasihat Keselamatan Negara AS H.R. McMaster memberi taklimat kepada anggota majlis pada Selasa mengenai Afghanistan dan Umarov menganggapnya sebagai “satu acara yang amat baik dan tepat pada masanya.”

Gambar menunjukkan tiga orang penduduk berkumpul ketika salah seorang dari mereka membaiki kasut di pinggir Kabul, Afghanistan pada 9 Januari 2018. – AP

Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia memberitahu wartawan pada Selasa beliau bersetuju dengan kebanyakan perkara yang dikemukakan oleh McMaster dan ‘bersetuju sepenuhnya’ dengan idea beliau mengenai keperluan untuk kerjasama Rusia dan AS berkenaan Afghanistan.

Nebenzia berkata beliau mengambil perhatian komen Presiden Vladimir Putin pada persidangan akhbar pada Disember ‘yang mengucapkan terima kasih kepada warga Amerika yang berada di Afghanistan, kerana menjalankan tugas’ dan menekankan keperluan untuk menjalin kerjasama AS dan Rusia mengenai isu berkenaan.

Perang Afghanistan kini memasuki tahun ke-17 dan tentera Afghan telah bergelut untuk memerangi kumpulan pelampau Taliban dan kumpulan IS sejak AS dan tentera antarabangsa mengakhiri misi pertempuran mereka pada akhir tahun 2014 dan beralih kepada peranan sokongan dan misi pencegahan keganasan. Pemerintahan Taliban di Afghanistan selama lima tahun berakhir dengan pencerobohan Amerika ke atas negara itu pada 2001. – AP